Tampil calon veteran tidak menguntungkan Bersatu -

Tampil calon veteran tidak menguntungkan Bersatu

MUHAMMAD IZMER YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis untuk mengenengahkan calon veteran meskipun mempunyai nama besar satu ketika dahulu dilihat tidak membantu memberi kelebihan kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkembangan tersebut menunjukkan Bersatu tidak mempunyai pilihan atau ketandusan calon dengan terpaksa bergantung kepada pemimpin veteran dengan harapan mendapat sokongan orang-orang lama khususnya ketika berada di dalam UMNO dahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, zaman para pemimpin veteran termasuk nama-nama besar seperti Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Azmi Khalid sudah lama berakhir sejak beberapa pilihan raya lalu.

Katanya, mengenengahkan calon veteran dilihat tidak menguntungkan namun jika menampilkan calon baharu juga dilihat tidak membantu memandangkan Bersatu masih baharu dan tidak mempunyai kekuatan akar umbi.

“Bersatu adalah parti serpihan yang keluar daripada UMNO di mana sejumlah pemimpin keluar dengan menubuhkan parti baharu. Ini menyebabkan Bersatu ketandusan pimpinan muda yang berkaliber melainkan jika ada yang baharu diserap.

“Kebanyakkan pimpinan berpengaruh adalah pemimpin veteran. Bersatu juga menghadapi masalah dalam menggerakkan akar umbi. Ini masalah semua parti-parti baharu. Akar umbi tidak ada. Dulu asal UMNO, akar umbi UMNO. Bila keluar, tak semua akar umbi keluar menyokong mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Bersatu negeri tidak menolak kemungkinan mengenengahkan dua tokoh politik terkenal iaitu Radzi dan Azmi sebagai calon dalam PRU15 di Perlis.

Jika menjadi kenyataan, kemunculan semula dua nama besar yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu di Parlimen Kangar dan Padang Besar sekali gus bakal memberi cabaran kepada Barisan Nasional (BN).

Radzi, 80, yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menguasai Parlimen Kangar pada PRU 1982, 1986, 2004 dan 2008.

Azmi, 82, yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pula menguasai Parlimen Padang Besar selama empat penggal berturut-turut dari 1995 sehingga 2008.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, melalui penambahan pengundi muda dalam PRU15, Bersatu perlu mencari acuan dan pendekatan baharu bagi meraih sokongan golongan berkenaan.

“Dilema Bersatu adalah mereka tidak boleh mengambil risiko meletak pimpinan muda sebab pengalaman dan sokongan politik yang kecil.

“PRU15, pada pandangan saya boleh dikatakan hidup dan mati Bersatu yang dahulu mempunyai kekuatan sentimen (anti-Datuk Seri Najib Tun Razak) selain kekuatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan akar umbi Pakatan Harapan (PH). Sekarang Bersatu bergantung kepada Pas sebagai jentera membantu, tanpa Pas, Bersatu akan bermasalah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.