BEIJING: Siasatan awal mendapati kewujudan terowong tidak bertanda, alat pengesan yang hilang serta pintu palsu menjadi punca kepada tragedi lombong di China yang mengorbankan puluhan nyawa.
Kerajaan China turut berikrar akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden tersebut.
Sekurang-kurangnya 82 terbunuh dalam letupan gas pada lewat malam Jumaat di lombong Liushenye di wilayah Shanxi, utara China, yang kaya dengan arang batu.
Dua lagi dilaporkan masih hilang, manakala 128 mangsa lain dimasukkan ke hospital, menurut laporan media rasmi.
Lombong tersebut, yang dikawal oleh Shanxi Tongzhou Coal Coking Group, didakwa mempunyai dua set pelan dan sistem pemantauan berasingan, menurut Xinhua.
Satu set digunakan untuk mencerminkan operasi sebenar, manakala satu lagi digunakan ketika pemeriksaan rasmi, dengan beberapa kawasan perlombongan disembunyikan daripada pengawasan pihak berkuasa.
Reuters tidak dapat menghubungi pegawai syarikat berkenaan kerana menurut media rasmi, mereka kini ditahan.
Arang batu yang dilombong dari terowong tersembunyi dan tidak dikawal itu tidak termasuk dalam angka pengeluaran rasmi dan tidak dikenakan cukai.
Dua set pelan ini dikenali secara kolokial sebagai ‘lukisan yin-yang’: satu disimpan secara terbuka untuk diperiksa pihak berkuasa, manakala satu lagi disembunyikan.
Amalan berasaskan keuntungan seperti ini dilaporkan bukan sesuatu yang asing dalam lombong arang batu di China walaupun terdapat tindakan keras, menurut pentadbiran keselamatan lombong negara.
Lombong Liushenyu turut didakwa menggunakan dawai dan beg plastik tenunan yang disembur mortar untuk menghasilkan pintu palsu yang kelihatan seperti dinding batu terowong, lapor Xinhua.
Pekerja juga didakwa akan diberi amaran oleh pihak luar setiap kali pemeriksa datang, sebelum menutup pintu palsu dan menyapu abu arang bagi menyamarkannya dengan bahagian terowong yang lain.- AGENSI









