PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar memembentangkan persediaan banjir pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, tarikh 19 November yang dipilih untuk mengundi mengejutkan kerana kekhuatiran cuaca yang membimbangkan pada tempoh itu.
“Kita sudah jangka tarikh-tarikh ini cuma saya jangka lebih awal, jadi sedikit terkejut 19 November hari mengundi. Saya tak pasti SPR ada meneliti laporan cuaca pada pertengahan November.
“Justeru, SPR wajib menyatakan perancangan jika berlaku banjir sama ada (tempoh mengundi) diubah atau ditambah masa.
“Sebab (banjir) ini mungkin menambah kesan serius kepada demokrasi kerana kita tak mahu jumlah mengundi rendah di satu-satu kawasan, manakala yang lain tetap tinggi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini ramai yang mencadangkan tarikh ideal mengadakan PRU15 sebelum 15 November bagi mengelak bertembung musim tengkujuh.
Ini kerana perubahan Monsun Timur Laut (MTL) pada pertengahan November mengundang risiko banjir semasa tengkujuh.
Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, langkah itu bagi mengelakkan berlakunya pertembungan sistem cuaca atau MTL dengan fenomena iklim iaitu La Nina dan Indian Ocean Dipole (IOD) negatif ketika ini.
SPR menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 5 November dan hari pengundian awal pula diputuskan pada 15 November. – UTUSAN










