Sindiket edar ganja dari negara jiran tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket edar ganja dari negara jiran tumpas

SOFFIAN SANTONG (kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas hasil serbuan ke atas satu sindiket pengedaran dadah dalam sidang akhbar di IPD TL, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Satu sindiket pengedaran ganja dari negara jiran tumpas selepas polis merampas sebanyak 573 kilogram (kg) bahan terlarang itu bernilai RM1.43 juta dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Bungah, Sabtu lalu.

Dalam serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 54 dan 58 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah tersebut turut ditahan.

Difahamkan, kedua-dua suspek merupakan nelayan dan suspek berusia 58 tahun merupakan dalang utama dan menjadi ketua sindiket pengedaran dadah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1.40 pagi, polis bertindak menyerbu sebuah pondok di pesisiran pantai Tanjung Bungah dan menahan seorang suspek berusia 54 tahun.

”Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas lapan karung guni mengandungi 243 ketulan mampat ganja seberat 246 kilogram bernilai RM612,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Menurut Soffian, dalam serbuan kedua kira-kira pukul 1.55 pagi pula, polis berjaya menahan suspek berusia 58 tahun yang dipercayai dalang sindiket tersebut di atas sebuah bot kira-kira 600 meter dari persisiran pantai Tanjung Bungah.

“Ketika serbuan suspek cuba melarikan diri, namun berjaya dipintas oleh pasukan polis marin.

”Ketika ditahan suspek sedang  memindahkan ganja dari laut ke kawasan pondok di pesisiran pantai di kawasan itu,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan di dalam bot berkenaan menjumpai sebanyak 11 karung guni berisi 321 mampatan daun kering dipercayai ganja seberat 327 kilogram  bernilai RM818,000.

”Sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai lalu dan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan. Dadah-dadah tersebut juga boleh digunakan oleh lebih sejuta penagih dadah sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya.

Dalam pada itu tambah Soffian, kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah namun masing-masing didapati negatif dadah hasil saringan air kencing.

”Dalam operasi ini, polis turut menyita sebuah bot berserta enjin bernilai RM93,000 dan nilai rampasan dadah serta bot ini kira-kira RM1.52 juta.

”Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN