Shafee sakit, bicara Najib ditangguh - Utusan Malaysia

Shafee sakit, bicara Najib ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Selasa depan bagi menyambung perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (IMDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan hari ini selepas peguam utama, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah diserang demam dan jangkitan tekak yang teruk.

Peguam Alaistair Brandah Norman memaklumkan, Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri diberi cuti sakit selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad ini.

“Demam dan jangkitan tekak yang teruk menyukarkan beliau mengendalikan prosiding di mahkamah,” ujar Alaistair ketika memaklumkan perkembangan terkini peguam tersebut.

Peguam berkenaan turut memberitahu, pada Selasa depan, Muhammad Shafee tidak dapat hadir pada prosiding di sebelah pagi kerana turut terlibat dalam satu rayuan di Mahkamah Tinggi berlainan.

Menurut beliau, rayuan itu berkaitan satu kes tahun 1999 melibatkan Repco Low dan pihak pembelaan akan mengambil masa yang lama kerana mengemukakan enam alasan rayuan pada prosiding itu.

“Kami memohon pengurusan kes pada pukul 2.30 petang pada Selasa depan bagi memaklumkan perkembangan sama ada pihak pembelaan bersedia menyoal balas Bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang,” ujarnya.

Alaistair turut memaklumkan, pada Rabu depan pula, pasukan pembelaan turut terlibat dalam prosiding permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dijadualkan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Najib semalam bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia Isnin lalu yang tidak membenarkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalan berkata, pihaknya tiada bantahan terhadap sijil cuti sakit yang diberikan kepada Muhammad Shafee.

Hakim Collin bagaimanapun berkata, mahkamah tidak boleh lagi menangguhkan perbicaraan kerana kes ini telah lama tertangguh.

“Kita tidak boleh menunggu mahkamah itu, mahkamah ini kerana kita mempunyai komitmen untuk menyelesaikan perbicaraan ini,” ujar beliau.

Mahkamah sepatutnya menyambung prosiding soal balas terhadap Tek Kuang pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN