Sebelum 15 November paling ideal

Sebelum 15 November paling ideal untuk PRU15

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum Ke-15 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh paling ideal untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah sebelum 15 November sebelum negara memasuki Monsun Timur Laut, selain selaras dengan titah Yang di-Pertuan ­Agong.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, faktor paling utama dalam menentukan tarikh pilihan raya kali ini adalah mengelak daripada banjir sama ada banjir kilat mahupun banjir besar.

Katanya, ini kerana musim hujan dan banjir boleh memberi kesan besar kepada logistik semua agensi serta peratusan keluar undi.

KRITIKAL

Justeru, katanya, setiap tarikh adalah kritikal untuk ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mengambil kira faktor berkenaan.

“Saya percaya tarikh paling sesuai adalah pada 12 November iaitu Sabtu.

“Namun, perkiraan saya mungkin juga lingkungan (sesuai) mengundi adalah antara 5 sehingga 12 November dan jika PRU15 diadakan 5 November, maka hari penamaan calon adalah lebih awal.

“Tetapi, tidak mustahil untuk adakan pilihan raya umum pada hari bekerja seperti Rabu yang berlaku pada PRU14. Sebab kita harus ingat SPR boleh adakan pilihan raya pada bila-bila masa kecuali Jumaat seperti rekod pilihan raya umum sebelum ini tidak pernah diadakan Jumaat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Satu mesyuarat khas diadakan SPR hari ini bagi membincang dan menentukan tarikh penting PRU15 susulan Proklamasi Pembubaran Parlimen Ke-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu.

Mesyuarat itu juga akan membincangkan tarikh penting pilihan raya di Pahang, Perlis dan Perak susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-14 serta mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah.

BERLAPANG DADA

Dr. Jeniri berkata, semua pihak diminta berlapang dada dalam menerima sebarang ketetapan yang diputuskan SPR.

“Kita perlu terima hakikat pilihan raya umum sekarang akan diadakan dan semua parti politik tidak harus bercakap (soal) tidak sesuai, tetapi beri galakan kepada semua pengundi untuk turun mengundi.

“Pastikan peratusan pengundi berada pada tahap tinggi atau paling tidak mencecah lebih 80 peratus dan tidak berada di bawah 75 peratus,” jelasnya.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, PRU15 sebaik­nya perlu dielakkan daripada diadakan selepas pertengahan bulan depan.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan berlakunya pertembungan sistem cuaca atau monsun dengan fenomena iklim iaitu La Nina dan Indian Ocean Dipole (IOD) negatif yang dialami ketika ini. Pengaruh ini yang menyebabkan kita mendapat hujan lebih daripada kea­daan biasa,’’ katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×