Radzi Jidin, KPM terbuka untuk disiasat SPRM  - Utusan Malaysia

Radzi Jidin, KPM terbuka untuk disiasat SPRM 

MOHD. Radzi Jidin (tengah) ketika melancarkan inisiatif Reading Progress di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, Selangor hari ini-UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada halangan dan terbuka untuk menyiasat Kementerian Pendidikan (KPM) atau Menteri Pendidikan berhubung dakwaan penyelewengan kontrak yang dibuat seorang ahli politik, Zaharin Yassin baru-baru ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, beliau terbuka sekiranya suruhanjaya terbabit mahu melakukan siasatan terhadapnya dan kementerian itu.

“Tiada apa yang perlu dikhuatirkan berhubung isu ini dan saya seorang yang terbuka dan telus (dalam apa-apa hal).

“Ada tuduhan (yang dibuat Zaharin), SPRM pergilah siasat dan lihat apa yang ada di sana (KPM),” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif ‘Reading Progress’ di Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini, hari ini.

Semalam, tular satu video Zaharin yang mendakwa berlaku penyelewengan berkaitan Surat Setuju Terima (SST) berhubung kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan dalam KPM. 

Oleh demikian, Mohd. Radzi dalam Facebook rasminya mengarahkan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof supaya membuat laporan berhubung dakwaan itu kepada SPRM.

Mohd. Radzi berkata, sejak berada di dalam kementerian itu, beliau bertekad memberikan perkhidmatan terbaik dengan setiap wang cukai yang dibayar rakyat perlu diberikan semula kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan serta prasarana pendidikan yang terbaik.

“Saya berada di sini bagi menjalankan khidmat untuk negara dan sekiranya ada apa-apa dakwaan lagi yang dibuat oleh pihak luar kepada KPM, SPRM boleh siasat,” tegasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN