PRU15: Semua parti kena ajak pengundi 18 tahun mengundi - Utusan Malaysia

PRU15: Semua parti kena ajak pengundi 18 tahun mengundi

Annuar Musa (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut bagi Parlimen Ketereh di Madrasah Binjai Manis, Ketereh, Kelantan semalam. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Setiap parti perlu  aktif mengajak pengundi 18 tahun untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, kesempatan ini perlu dimanfaatkan sebagai pengundi kali pertama untuk memilih kerajaan yang lebih stabil.

Menurut beliau, pilihan raya adalah teras kepada amalan demokrasi dalam negara untuk memilih pemimpin dan kerajaan.

“Kita ingin melihat jumlah yang keluar mengundi lebih tinggi kerana dia akan memberi gambaran kepada tahap kesejahteraan amalan demokrasi dalam negara. 

“Kalau jumlah yang keluar mengundi 50 peratus sahaja, sebenarnya itu tidak memberikan satu gambaran yang baik kepada amalan demokrasi yang kita inginkan,”katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 212 mangsa ribut bagi Parlimen Ketereh di Madrasah Binjai Manis, Ketereh di sini semalam.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan, sebahagian besar daripada 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara mungkin terlepas peluang mengundi buat pertama kali disebabkan memerlukan belanja besar untuk pulang.

Keadaan itu lebih dirasai pelajar yang berada jauh dari kampung terutama dari Sabah dan Sarawak tetapi belajar di Semenanjung atau sebaliknya, serta seperti mereka yang mengundi di Johor tetapi belajar di Pantai Timur atau utara tanah air.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, apa yang penting adalah untuk terus mempertingkatkan kempen kesedaran terhadap tanggungjawab rakyat menyempurnakan proses demokrasi.

“Saya telah memberitahu televisyen (media) supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan SPR menyempurnakan tugas-tugas mereka termasuklah menyeru pengundi-pengundi awal iaitu undi pos.

“Ini adalah hak rakyat dan kita kena yakin kepada kebijaksanaan rakyat dan oleh itu kita perlu menggalakkan rakyat menunaikan hak mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN