KUALA TERENGGANU: Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid menegaskan beliau sedia bertanding menggunakan logo bulan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penyandang Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, beliau sedia bertanding menggunakan logo Pas sekiranya mendapat persetujuan Perikatan Nasional (PN).
“Berkenaan logo, saya bersedia (guna logo bulan) asalkan kita boleh menang, namun, kena ikut pucuk pimpinan untuk putuskan PN guna logo mana dalam PRU15 kali ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan tiga negeri pimpinannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menggunakan logo bulan untuk semua calon PN yang akan bertanding dalam PRU15.
Keputusan menggunakan logo sendiri itu diambil kerana Pas mempunyai sokongan padu di tiga negeri tersebut dan logo bulan sangat sinonim untuk pengundi parti di Kedah, Kelantan dan Terengganu berbanding logo lain.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, PRU15 adalah medan terbaik untuk menguji penerimaan pengundi bagi Parlimen Hulu Terengganu terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya di negeri ini.
Menurutnya, selama empat tahun menjadi Ahli Parlimen Hulu Terengganu, beliau melakukan yang terbaik untuk kawasan itu dan kini terpulang kepada pengundi untuk membuat keputusan.
Tambahnya, hanya pengundi Parlimen Hulu Terengganu layak menilai semua usaha dan perkhidmatan yang diberi selama ini sama ada memilihnya semula menjadi wakil rakyat atau menghukumnya kerana keluar dari UMNO selepas PRU14 yang lalu.
“Tindakan saya keluar dari UMNO dahulu (selepas PRU14) adalah untuk menjadikan keadaan lebih baik ketika itu.
“Ini kerana semasa saya dalam UMNO, saya hanya dapat peruntukan RM100,000 sahaja (sebagai ahli parlimen pembangkang) dan apabila menyertai Bersatu, saya dapat peruntukan RM3.5 juta untuk Hulu Terengganu.
“Jadi, saya serahkan semuanya kepada pengundi. Sekarang ini, terpulang pada mereka bagaimana untuk menerima saya yang mewakili Bersatu,” katanya.
Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,868 menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Bersatu, Datuk Razali Idris.
Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018 dengan memberi alasan rakyat terutama pengundi di Parlimen Hulu Terengganu tidak menikmati pembangunan dan dipinggirkan selepas lebih enam bulan PRU14 berlalu. –UTUSAN










