PONTIAN: Para pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila ‘menyerahkan’ kerusi tersebut jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).
Justeru, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta pengundi supaya tidak mengulangi kesilapan itu dan pada PRU15 ini terus memberikan kepercayaan kepada calon Barisan Nasional (BN).
“Bagi memudahkan untuk kita mendapat lebih banyak pembangunan di Johor pada masa depan, Putrajaya perlu diterajui sepenuhnya oleh BN,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Tanjung Piai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dan Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Raffi Abdullah.
Menteri Besar berkata, banyak lagi agenda pembangunan akan dibawa masuk ke Parlimen Tanjung Piai, namun, usaha tersebut memerlukan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi merealisasikannya.
Menurutnya, selepas pembukaan Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah-Pontian pada awal tahun depan, tentunya aktiviti pelancongan akan meningkat di kawasan Tanjung Piai.
Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi BN Johor berkata, PRU15 diadakan sekarang bagi memilih sebuah kerajaan yang stabil bagi menghadapi segala kemungkinan termasuk kelembapan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun depan.
Menurutnya, ketidaktentuan ekonomi dunia ditambah ketidakstabilan politik akan memberikan lebih banyak kesan kepada rakyat sekiranya PRU dilakukan pada tahun depan.
Sempena lawatan kerja ke Parlimen Tanjung Piai, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi pembinaan Mega Ikan Bakar di Taman Rekreasi Sungai Rambah.-UTUSAN