LANGKAWI: Gerakan Tanah Air (GTA) akan menggerakkan jentera pilihan rayanya bagi meyakinkan pengundi muda dan automatik untuk memilih gabungan itu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, golongan itu perlu diberi penjelasan mengenai masalah yang dihadapi negara ini di samping mendedahkan mereka kepada intipati perjuangan yang dibawa GTA.
“Pengundi muda ini kita dapati sedikit masalah kerana mereka belum biasa dengan politik. Jadi, kita perlu buat penjelasan tentang masalah yang dihadapi oleh negara.
“Khususnya kita dapati bahawa mereka mungkin hanya menurut jejak langkah ibu bapa mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama Jentera Pilihan Raya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan GTA di sini, hari ini.
Penyandang Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, golongan tersebut juga perlu diberitahu bahawa sekiranya UMNO memenangi PRU15, negara akan ditadbir oleh individu yang sudah didapati bersalah kerana penyelewengan.
Tambahnya, dalam konteks itu, UMNO didapati tidak boleh dipercayai lagi untuk memimpin orang Melayu Islam dan GTA adalah pilihan terbaik bagi menggantikan tempat UMNO.
Beliau turut menyatakan, GTA akan memerintah dengan adil serta turut menumpukan kepada pembangunan rakyat berbilang bangsa di negara ini.
“Jadi tak payah nak takut kata pemerintah orang Melayu ini akan merugikan orang bukan Melayu. Sebenarnya Malaysia telah diperintah oleh orang Melayu selama 60 tahun dan orang bukan Melayu tak pernah rugi daripadanya,” katanya.-UTUSAN










