BACHOK: Pas akan mengadakan perbincangan semula mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai parti berkenaan.
Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, langkah itu susulan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung kelmarin memutuskan pembubaran Dewan Rakyat dilakukan dalam masa terdekat bagi bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tahun ini.
Katanya, Pas masih berpegang kepada keputusan untuk tidak membubarkan DUN yang dikuasai oleh parti itu sehingga akhir penggal pada tahun depan.
“Setakat ini keputusan itu masih kekal, namun ia akan dibincangkan semula di peringkat pucuk pimpinan untuk mencari kesepakatan berkait penyeragaman tarikh PRU15.
“Segala perubahan berkait perkara itu tertakluk kepada keputusan musyawarah terbaharu di peringkat pucuk pimpinan parti sama ada mengekalkan keputusan asal atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ijtimak Pondok Se-Malaysia di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan Moden Kandis, di sini malam tadi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri yang diterajui pari itu tidak akan membubarkan DUN masing-masing lebih awal dari Mac 2023.
Dalam pada itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menerima resolusi Ijtimak Pondok Se-Malaysia yang antara lain mencadangkan semua calon PRU15 wajib terdiri daripada individu yang tidak menyebarkan fahaman dan ajaran wahabi.
Katanya, resolusi itu turut mendesak semua parti Melayu Islam supaya bersatu padu bagi memastikan Islam didaulatkan dalam negara menepati sumpah Diraja dan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Pandangan dan cadangan itu, kami akan bawa kepada parti. Terserah kepada pimpinan putuskan nanti,” ujarnya. – UTUSAN










