PN jamin tiada perebutan kerusi di Perak - Utusan Malaysia

PN jamin tiada perebutan kerusi di Perak

AHMAD Faizal Azumu menjalani pemeriksaan kesihatan pada Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Permuafakatan antara komponen parti dalam Perikatan Nasional (PN) Perak tidak akan membawa kepada isu perebutan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) seperti mana yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengalaman pada PRU-14 membantunya dalam pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Katanya, meskipun diakui terdapat pertindihan calon di peringkat Pusat, namun, perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya ada pengalaman dalam PRU-14 ketika membuat agihan kerusi dalam PH. Seperti hari ini pun bergaduh di Changkat Jong apabila calon Amanah (Parti Amanah Negara) bertanding, calon DAP pun bertanding.

“Memang dalam PH, masing-masing anggap diri terlalu hebat. Ada yang (mendakwa) anugerah tuhan, malah kawan-kawan bapa saya pun ramai yang bertanding. Itu yang menyebabkan berlaku banyak pertindihan sehingga tidak dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui pada program pemeriksaan kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahupun Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), masing-masing menerima keputusan dibuat pimpinan parti tanpa berlakunya pertikaian.

Katanya, kesepakatan dapat dicapai agar tiada perebutan kerana objektif paling penting adalah menewaskan Barisan Nasional (BN) dan PH.

“Saya nampak ada yang berharap mahu menjadi calon dan ada juga yang kecil hati, tetapi apabila kita bersembang dan istiqamah serta berhasrat untuk terus membantu parti kerana pada akhirnya, harapan untuk menubuhkan kerajaan sekali gus menggagalkan BN dan PH. Itu yang paling penting,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, PN Perak akan mengumumkan calon dan manifestonya serentak pada minggu hadapan.

Katanya, calon-calon PN daripada Pas, Bersatu dan Gerakan pada PRU15 di negeri ini merupakan anak tempatan dan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional.

“Kita di belah Kuala Kangsar ke bawah ini, kita tetap pastikan calon-calon yang minum ‘ayor’ dan untuk Taiping ke atas, kita bagi yang minum ‘ayaq’.

“Insya-Allah, kita mahu persembahkan satu senarai yang boleh kita sandarkan tanggungjawab untuk mereka tubuhkan kerajaan di Perak dan berkhidmat di peringkat pusat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya