PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berikrar parti itu akan membuat yang terbaik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Rafizi menerusi ciapan di Twitternya berkata, kemenangan atau kekalahan sesuatu parti akan ditentukan Allah dan apa yang penting ialah berusaha bawa Malaysia ke landasan lebih baik.
“Kita akan buat yang terbaik. Seperti saya selalu ulang, menang kalah Allah telah tetapkan. Yang penting, kita berusaha terbaik untuk terus bawa Malaysia ke landasan lebih baik.
“Dari berlari-lari anak beberapa bulan lalu, ini masa untuk memecut,” kata Rafizi sebagai reaksi selepas Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14, berkuat kuasa hari ini.
Pembubaran itu selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu. –UTUSAN