PH Melaka gesa rakyat tolak politik wang, rasuah -

PH Melaka gesa rakyat tolak politik wang, rasuah

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rakyat perlu bersatu hati menyelamatkan negara daripada politik wang dan amalan rasuah sekiranya mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju, kaya serta memiliki kehidupan yang harmoni.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, pembubaran Parlimen ketika musim tengkujuh dan kemungkinan berlaku banjir besar menggambarkan sikap Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan kuasa berbanding keselamatan rakyat dan negara.

Dakwanya lagi, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen adalah bagi mengelakkannya dikenakan tindakan disiplin oleh parti, seperti yang berlaku kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Tindakan ini menggambarkan kepimpinan Ismail Sabri yang lemah dan lebih mementingkan desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbanding kepentingan rakyat.

“Ahmad Zahid memerlukan pilihan raya umum diadakan bagi menyelamatkan beliau daripada pendakwaan rasuah yang sedang berjalan sekiranya BN menang. Parti itu dijangka turut memohon pengampunan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini akan memberi gambaran buruk buat Malaysia di mata dunia selain turut menjejaskan ekonomi negara. Bersama kita berusaha menyelamatkan negara dengan membawa harapan baru buat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau juga mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya