Penternak kontrak desak kerajaan tambah subsidi -

Penternak kontrak desak kerajaan tambah subsidi

PERSATUAN penternakan ayam kontrak mahu harga subsidi ayam dinaikkan kepada 30 sen sekilogram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa persatuan penternakan ayam kontrak mendesak kerajaan mempertimbang kenaikan subsidi ternakan itu bagi menampung kos pengeluaran yang meningkat.

Dalam surat yang diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), persatuan-persatuan yang enggan namanya disiarkan memberitahu, mereka memohon agar subsidi ayam kepada penternak kontrak dapat dinaikkan kepada 30 sen sekilogram.

Katanya, selain menampung kenaikan kos operasi, pertambahan subsidi itu juga demi mengimbangi industri ternakan yang selama ini dikuasai kartel atau integrator yang sering mengaut keuntungan di atas kesempitan penternak kontrak.

“Kami memohon pecahan subsidi sekurang-kurangnya 30 sen kepada penternak kontrak disebabkan beberapa perkara.

“Pertama, peningkatan kos operasi seperti gaji pekerja, harga ubat-ubatan ayam dan kelengkapan reban ayam yang amat ketara pada tahun ini.

“Kedua, risiko kerugian yang amat tinggi sejak awal tahun ini disebabkan ancaman penyakit ayam seperti ND dan CCRD yang amat berleluasa sejak kebelakangan ini,” katanya dalam surat yang dilihat akhbar ini.

Menjelas lanjut, mereka berkata sering ditindas integrator ayam yang membekalkan anak ayam tidak berkualiti sehingga menjejaskan hasil ternakan penternak kontrak.

“Anak ayam dibekalkan oleh integrator sejak akhir-akhir ini tidak berkualiti dan menyebabkan kadar kematian dan curling yang mencecah 25 peratus ini secara langsung mengurangkan keuntungan pihak penternak.

“Walaupun penternak kontrak mengalami kerugian disebabkan faktor-faktor disebut di atas, integrator yang memayungi kami tetap mendapat keuntungan,” katanya.

Akhbar ini melaporkan beberapa syarikat gergasi ternakan ayam didakwa berkomplot ‘menyembelih’ penternak kontrak kecil-kecilan dengan mengaut hampir semua peruntukan subsidi yang disalurkan kerajaan kepada industri tersebut.

Dengan kadar subsidi 10 sen bagi sekilogram ayam untuk kategori kontrak kecil-kecilan
berbanding 70 hingga 80 sen sekilogram bagi kategori persendirian dan bersepadu (integrator), penternak kecil menjangkakan mereka tidak akan mampu meneruskan operasi dalam industri berkenaan.

Sementara itu, sumber industri penternakan ayam kontrak di sebuah negeri mendakwa, wujud amalan politik wang dalam soal penyaluran subsidi ayam kali ini.

Malah dakwanya, tindakan mengurangkan jumlah subsidi kepada penternak kontrak dikhuatiri bagi ‘membunuh’ pesaing kartel ayam yang sekali gus memberi kuasa kepada gergasi industri menguasai seluruh rantaian industri kerana mempunyai modal besar untuk membangunkan ladang ternakan sendiri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya