Pengeluar eksport ke luar negara punca bekalan telur terjejas

Pengeluar eksport ke luar negara punca bekalan telur terjejas

ALEXANDER Nanta Linggi meninjau barangan keperluan di sebuah pasar raya di Batu Caves, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kekurangan bekalan telur yang dihadapi ketika ini berpunca daripada tindakan pengeluar mengeksport ke luar negara.

Perkara itu didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selepas mengadakan lawatan ke beberapa pasar raya di Batu Caves, Selangor hari ini.

Alexander berkata, beliau melihat sendiri dan mengakui bekalan telur berkurangan, malah pemilik pasar raya akui bekalan telur sukar diperoleh.

“Antaranya, tindakan pengeluar yang mengeksport telur gred kawalan iaitu telur gred A, B dan C ke luar negara yang menyebabkan bekalan telur domestik berkurangan.

“Kerajaan, melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menaikkan subsidi kepada penternak dari tiga sen sebiji kepada lapan sen sebiji disebabkan kos pengeluaran yang meningkat sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran telur gred A, B dan C.

“Subsidi yang diberikan kepada penternak ini juga adalah bertujuan memastikan harga kepada pengguna kekal pada harga siling yang ditetapkan kerajaan untuk telur gred A, B dan C,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, beliau memberi amaran keras kepada semua pengeluar untuk memastikan pengeluaran telur kegunaan domestik dipertingkatkan bagi memastikan keberadaan bekalan komoditi ini di dalam pasaran negara.

Alexander berkata, pengeluar hendaklah berintegriti dan menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang dipersetujui bersama dalam beberapa siri perbincangan selepas subsidi tambahan diberikan kepada pengeluar.

Menurutnya, KPDNHEP akan sentiasa bekerjasama dengan MAFI dan agensi terlibat bagi memastikan kebajikan pengguna dijaga.

Dalam pada itu, Alexander berkata, bekalan barangan seperti ayam, sayur minyak dan sebagainya dilihat memuaskan dengan harga jualan mematuhi harga maksimum yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Selain itu, katanya, pihaknya akan mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali menerusi sidang akhbar yang akan diumumkan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.