Pendakwa bantah permohonan semakan Bung Moktar, Zizie -

Pendakwa bantah permohonan semakan Bung Moktar, Zizie

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izette Abd. Samad. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pasangan suami isteri itu menggunakan tatacara yang salah dari segi undang-undang ketika memfailkan permohonan semakan melalui notis usul.

Beliau menyatakan, permohonan melalui notis usul itu bertentangan dengan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Seksyen 325 dan 326 CPC dibaca bersama Seksyen 35 dan 36 CoJA memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil dan memeriksa mana-mana rekod prosiding.

“Tindakan pihak pembelaan memfailkan permohonan semakan melalui notis usul seolah-olah `memaksa’ mahkamah untuk mendengar permohonan semakan, walhal tindakan memanggil rekod prosiding adalah budi bicara mahkamah,” ujar Chin How.

Ujarnya, pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan rasmi bantahan awal itu hari ini dan penghujahan bertulis dalam tempoh dua minggu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian menetapkan permohonan bantahan awal didengar pada 11 November ini.

Sementara itu, peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar berkata, beliau bersetuju mahkamah mempunyai budi bicara untuk menyemak keputusan mahkamah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 31 dan 35 CoJA dan juga 323 dan 325 CPC.

Namun, pihak pembelaan berpendirian, berdasarkan keputusan mahkamah terdahulu, terdapat tiga kaedah yang diguna pakai dalam permohonan semakan.

Ujar Athimulan, kaedah pertama ialah mahkamah boleh memanggil rekod prosiding untuk disemak.

“Kaedah kedua ialah pihak yang terkesan sama ada tertuduh atau pihak pendakwaan dan kaedah ketiga melibatkan permohonan rasmi daripada pihak-pihak lain yang berkepentingan contohnya mangsa,” ujar beliau.

Terdahulu, Azhar membenarkan permohonan Bung Moktar untuk menggabung semakan dan didengar bersama-sama permohonan isterinya.

Permohonan penggabungan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah.

Bagaimanapun, mahkamah akan mendengar dan memutuskan permohonan bantahan awal itu
terlebih dahulu.

Pasangan suami isteri itu memfailkan permohonan secara berasingan bulan lalu untuk menyemak dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung Moktar membela diri atas tiga pertuduhan rasuah manakala Zizie atas tuduhan bersubahat.

Dalam notis usul yang difailkannya, mereka antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.

Ekoran permohonan itu, tarikh keterangan bela diri bagi pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual yang dijadualkan sebelum ini, dilapangkan.

Pada 23 September lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen selepas mereka memfailkan notis usul untuk menyemak dan mengetepikan keputusan hakim bicara.

Dalam notis usulnya, Zizie memohon Mahkamah Tinggi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap intipati pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Zizie dijadual membela diri pada 23 September lalu terhadap pertuduhan bersubahat dengan suaminya menerima rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Pasangan suami isteri itu dijadual memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya