PETALING JAYA: Kebanyakan negara di dunia sudah mula mengetengahkan pemimpin yang lebih muda untuk mentadbir negara.
Antaranya Justin Trudeau menjadi Perdana Menteri Kanada pada usia 44 tahun, diikuti Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, 37 dan terbaharu Perdana Menteri Finland, Sanna Marin, 34 tahun.
Namun, Malaysia tidak pernah mengetengahkan Perdana Menteri berusia di bawah 40 atau 50 tahun, sebaliknya dari 50 tahun hingga 60 tahun ke atas.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jika diberi peluang adakah parti-parti politik di negara ini mampu mengetengahkan pemimpin muda yang layak menerajui negara?
1. KHAIRY JAMALUDDIN (46)
Walaupun berusia 46 tahun, Khairy Jamaluddin membuktikan keupayaannya menerajui negara dan diberi tanggungjawab mengemudi kementerian.
Bermula sebagai Menteri Belia dan Sukan, Khairy kemudian dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan jawatan terakhir Menteri Kesihatan sebelum Parlimen dibubar.
Beliau membantu mencapai imuniti kelompok Covid-19, memperkenalkan generasi penamat merokok dan penggunaan ganja untuk perubatan.
Khairy mempunyai sokongan kuat terutama dalam kalangan orang muda, malah sewaktu beliau bertanding jawatan presiden dalam Pemilihan UMNO 2018, beliau mendapat undi kedua tertinggi menewaskan calon veteran Tengku Razaleigh Hamzah walaupun tewas kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
2. RAFIZI RAMLI (45)
Kejayaannya menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR menjadikan beliau pemimpin termuda memegang jawatan kedua tertinggi parti di Malaysia pada usia 45 tahun.
Malah, kemenangan itu juga menunjukkan beliau masih merupakan seorang yang berpengaruh apabila meraih sokongan majoriti dalam kalangan ahli partinya sejak kembali aktif dalam politik tanah air pada awal tahun ini.
Personalitinya mudah menarik perhatian orang muda kerana seorang yang sering mengetengahkan pelbagai jenis idea, selain lantang mengkritik dasar-dasar pentadbiran, membongkarkan salah laku serta mencabar parti-parti lawan.
3. NURUL IZZAH ANWAR (41)
Nurul Izzah mula menempa nama dalam politik tanah air dalam usia 28 tahun apabila menewaskan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di Parlimen Lembah Pantai.
Beliau menjadi semakin popular apabila sering memperjuangkan isu-isu berkaitan kebajikan pekerja, layanan terhadap banduan di penjara serta membela hak-hak wanita.
Nurul Izzah juga menjadi pemimpin termuda dipilih ke jawatan Naib Presiden PKR selain menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
4. SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN (30)
Pada usia 25 tahun, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi menteri termuda dalam Kabinet menerajui Kementerian Menteri Belia dan Sukan.
Popular di laman media sosial termasuk TikTok, anak muda ini menggunakan platform maya untuk membangkitkan pelbagai isu rakyat dan belia.
Berpegang kepada prinsip, Syed Saddiq menubuhkan sebuah parti baharu dan menjadi pemimpin termuda negara yang memegang jawatan presiden kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
5. FAHMI FADZIL (41)
Fahmi Fadzil mula dikenali apabila menewaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Parlimen Lembah Pantai pada usia 37 tahun semasa PRU14.
Beliau juga menunjukkan kepemimpinannya sepanjang memegang jawatan Pengarah Komunikasi PKR dan kini sebagai Ketua Penerangan PKR.
Selain itu, Fahmi juga disenangi oleh warga Lembah Pantai kerana pendekatannya dalam menyelesaikan masalah, menjadikan beliau antara pemimpin muda yang popular dalam arena politik.
CALON-CALON LAIN
PKR melahirkan ramai lagi pemimpin muda antaranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (42), Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad (40) dan terbaharu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim (33).
UMNO turut memiliki Isham Jalil (46) yang kini dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Shahril Sufian Hamdan yang menyerlah sepanjang memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO dan Naib Ketua Pemuda UMNO.
Kepemimpinan muda DAP antaranya Anthony Loke (45), Liew Chin Tong (44), Hannah Yeoh (43), Wong Kah Woh (42), Kelvin Yii (36), Sheikh Omar Ali (37), Young Syefura Othman (32), Marina Ibrahim (35), Howard Lee (39).
Perikatan Nasional (PN) memiliki barisan muda diketengahkan seperti Ahmad Fadhli Shaari (41), Khairil Nizam Khirudin (43) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (35) manakala Gerakan Tanah Air (GTA) menerusi Ketua Pemuda Parti Pejuang, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin (33). – UTUSAN










