KUALA LANGAT: Berang tidak hadir menemui guru disiplin kerana ponteng sekolah dipercayai punca seorang pelajar tular dibuli tiga rakan lain sehingga cedera di sekitar Banting di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi sebuah video berdurasi 55 saat di media sosial semalam.
Kata beliau, video itu menyatakan seorang remaja berusia 13 tahun diganggu beberapa lelaki (pelajar) berhampiran sebuah kawasan ladang kelapa sawit.
“Pada pukul 7.10 malam tadi, polis menerima laporan polis wanita mengenai seorang anak lelakinya dibuli tiga pelajar.
“Kejadian itu turut menyebabkan mangsa mengalami cedera kesakitan di pipi akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ahmad Ridhwan, kesemua pelajar berusia 13 tahun itu sudah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bagi membantu siasatan.
“Mereka dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa yang tidak hadir bertemu guru disiplin selepas kegiatan mereka ponteng pada 12 Oktober lalu.
“Siasatan mendapati kejadian buli itu berlaku pada Rabu lalu (19 Oktober),” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Ridhwan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam. –UTUSAN










