TUMPAT: Usaha pengamal media untuk menemu bual ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd. Naim atau Azie, 36, yang dilaporkan pulang hari ini gagal apabila kawasan rumahnya di Kampung Semat Jal, di sini berkunci.
Pengamal media dari pelbagai agensi termasuk jurufoto berkumpul di rumah Azie seawal pukul 10.30 pagi untuk mendapatkan reaksi dari wanita berkenaan termasuk ahli keluarga.
Bagaimanapun, selepas menunggu selama tiga jam, usaha itu menemukan jalan buntu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati keluarga Azie sudah menampal notis memaklumkan pengamal media tidak dibenarkan memasuki kawasan rumah berkenaan.
Kakak mangsa yang enggan di kenali sebelum ini meminta semua petugas media memberi ruang kepada keluarganya untuk bertenang selepas diuji dengan kehilangan Azie sebelum ini.
Dia berharap hak-hak keluarga dihormati dan tidak diganggu buat sementara waktu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu, mangsa diselamatkan hasil kerjasama pihak berkuasa Thailand dan kini dibawa pulang ke Malaysia.
Menurutnya, lokasi keberadaan mangsa di negara itu dapat dikesan melalui kerjasama erat Polis Diraja Malaysia dan Polis Diraja Thailand.
“Mangsa kemudian ditemukan dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air,” katanya.
Pada 13 September lalu, mangsa didakwa ‘dilarikan’ tiga lelaki selepas dikaitkan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah. –UTUSAN