Old Phone imbau kenangan lama, Ed Sheeran lancarkan album baharu September ini - Utusan Malaysia

Old Phone imbau kenangan lama, Ed Sheeran lancarkan album baharu September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas menutup lembaran siri album Mathematics, penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran bakal lancarkan album terbaharunya yang berjudul Play pada 12 September ini

Menerusi album tersebut, Sheeran turut menampilkan landskap muzik baharu hasil kolaborasi bersama penerbit dan pemuzik dari seluruh dunia.

Lebih menarik lagi, sebahagian karya menerusi album ini diinspirasi daripada budaya muzik India dan Parsi selain mengekalkan skala, ritma, dan melodi yang sering menjadi identiti dalam lagu-lagu hits Sheeran.

Menurut Sheeran, dia yakin Play mampu menjadi antara album yang berpengaruh tahun ini setelah memberikan sentuhan unik dan segar kepada koleksi lagu-lagunya.

“Play ialah sebuah album yang lahir sebagai tindak balas terus terhadap fasa paling gelap dalam hidup saya. Selepas melalui semua itu, saya hanya mahu mencipta sesuatu yang penuh kegembiraan dan warna-warni sambil meneroka budaya di negara-negara yang saya lawati ketika menjelajah.

“Saya merakam album ini di serata dunia, dan menyudahkannya di Goa, India di mana saya mengalami antara hari-hari paling menyeronokkan dan penuh eksplorasi dalam hidup saya sebagai seorang pengkarya. Album ini ibarat satu perjalanan rollercoaster emosi dari awal hingga akhir.

“Ia merangkumi segala yang saya cintai tentang muzik keriangannya, keindahannya dan pada masa yang sama mencerminkan dimana saya berada dalam kehidupan, sebagai seorang insan, pasangan, dan juga bapa. Ketika memulakan kempen album ini, saya berpesan kepada diri sendiri bahawa saya hanya mahu segala yang saya lakukan kali ini bersifat menyeronokkan dan penuh bermain.

“Dari situlah terbinanya pub untuk sesi jamming rakyat, buat persembahan di atas bas dua tingkat terbuka, dan menyanyi dengan topi koboi merah jambu di atas bar. Semakin saya meningkat usia, semakin saya mahu menikmati setiap detik dan menghargai saat-saat yang gila dan kacau-bilau,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Dalam pada itu, Ed Sheeran turut melancarkan lagu terbaharunya, Old Phone yang mengisahkan kekeliruan emosi apabila berhubung semula dengan masa silam.

Lagu yang dihasilkan oleh Blake Slatkin dan Ilya Salmanzadeh tersebut tercipta apabila penyanyi itu menghidupkan semula sebuah telefon lamanya dan menemui semula mesej-mesej lama daripada sahabat dan bekas kekasih sekali gus mengimbau kenangan lama.

Lagu tersebut juga turut menceritakan tentang kenangan bersama ahli keluarga yang semakin menjauh yang pada akhirnya menjadi punca kepada perubahan identiti seseorang.

Menggabungkan melodi akustik yang penuh nostalgia dan penuh emosi, lagu ini mengimbau akar penulisan lagu awal Ed yang dibentuk dan diubah oleh masa lalunya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×