Othman Aziz, bekas bos bertembung lagi di Jerlun?

Othman Aziz, bekas bos bertembung lagi di Jerlun?

MUKHRIZ MAHATHIR (kiri) dan OTHMAN DESA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN antara Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan Datuk Othman Aziz bukan sekadar seteru dalam politik. Kedua-dua mereka pernah berganding bahu dalam UMNO Bahagian Jerlun dan Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Othman pernah menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun ketika Mukhriz mengetuai bahagian itu, manakala di peringkat UMNO Kedah, Mukhriz pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan, sementara Othman pula sebagai Setiausahanya.

Mukhriz ketika ini adalah Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas beliau dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Othman pula yang terus setia dalam UMNO sehingga kini berpeluang menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Namun dek kerana pegangan politik masing-masing, kedua-dua pemimpin itu mungkin menjadi lawan untuk kali kedua di kerusi Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada 2018, Mukhriz memperoleh 18,695 undi sekali gus mendapat 5,866 majoriti menewaskan pencabar daripada Pas (12,829 undi) diikuti Othman di tangga ketiga yang kekurangan 416 undi berban­ding calon Pas.

Menariknya, kedua-dua mereka bukan sekadar berpengalaman di peringkat negeri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tetapi kedua-duanya juga pernah menganggotai Kerajaan Persekutuan sebagai Timbalan Menteri.

Pengalaman luas Mukhriz dan Othman dalam politik serta pentadbiran kerajaan sudah pasti memberi ‘mata tambahan’ kepada mereka untuk menambat hati pengundi berbanding calon-calon lain.

Sebelum ini, cakap-cakap politik menyatakan Mukhriz mahu ‘lari’ ke Parlimen Kubang Pasu, namun dengan pengesahan beliau sendiri yang akan pertahan Jerlun sudah tentu menutup mulut pengkritiknya.

Barisan Nasional (BN) pula hampir pasti menamakan Othman yang digambarkan sesuai sebagai federal man berbanding bertanding semula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Profil Mukhriz sudah tentu tidak perlu diselak satu persatu lagi, tetapi Othman juga tidak kurang hebatnya di Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN