PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan beberapa nama besar dalam politik tidak mempertahankan kerusi yang disandang mereka atas pelbagai alasan termasuk memberi laluan kepada muka baharu.
Ini termasuk mereka yang menang selesa pada PRU14. Sama ada keputusan tidak bertanding bertujuan berehat seketika dalam pentas politik dan bangkit pada masa akan datang, segala-galanya dilihat sebagai strategi parti untuk menjamin kemenangan gabungan masing-masing.
Bagaimanapun, tidak dinafikan faktor sesetengah ahli Parlimen tidak mahu bertanding disebabkan bimbang ditolak pengundi kerana sebelum ini menang atas tiket parti lain sebelum bertindak keluar parti.
1. TAN SRI SHAHRIR SAMAD
Beliau mengesahkan tidak bertanding pada PRU15 namun Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu memaklumkan bahawa tetap mengetuai jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).
Keputusan tidak bertanding diambil kerana bekas Pengerusi Felda itu sedang mempertahan integriti dan nama baiknya di mahkamah selepas didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada PRU-14, Shahrir adalah antara nama besar BN yang tewas berikutan tsunami politik apabila pengundi ketika itu beralih arah kepada Pakatan Harapan (PH) yang mencipta sejarah membentuk kerajaan mentadbir Malaysia buat kali pertama.
Dalam PRU14, Shahrir tewas kepada calon PKR, Akmal Nasir dengan majoriti 19,782 undi.
2. TONY PUA
Penyandang kerusi Parlimen Damansara daripada DAP ini menyatakan keputusannya untuk tidak bertanding kehendak sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang sekeliling.
Tony yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika era pentadbiran kerajaan PH pada 2018 berkecimpung dalam politik lebih 15 tahun dan antara pemimpin berpengaruh parti itu.
Beliau mencipta sejarah pada PRU14 apabila mencatatkan majoriti paling besar di kerusi Parlimen Damansara, dalam persaingan tiga penjuru di kerusi yang sebelum ini dikenali Petaling Jaya Utara.
Tony mempertahan kerusi itu dengan majoriti 106,903 undi mengalahkan calon BN dari MCA, Ho Kwok Xheng (14, 380 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Wong Mun Kheong (617 undi).
Parlimen Damansara adalah kerusi yang mempunyai paling ramai pengundi berdaftar iaitu 164,322 pemilih selepas kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat, Mac 2018.
Penyandang kerusi Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo akan menggantikan Tony manakala penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin bertanding di Puchong.
3. ONG KIAN MING
Bagi memberi laluan kepada pemimpin muda DAP di Parlimen Bangi, Ong Kian Ming tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2018.
Ramai yang beranggapan Kian Ming ‘boleh pergi jauh’ kerana usianya masih muda namun, beliau yang menjadi ahli Parlimen selama dua penggal itu tetap dengan pendirian tidak bertanding.
Kian Ming, 46, dipilih sebagai ahli Parlimen Bangi pada PRU14 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Sebelum itu, beliau adalah ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018.
Bagi menggantikan Kian Ming, DAP menampilkan calon Melayu iaitu Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusatnya (CEC), Syahredzan Johan di Parlimen Bangi.
4. TAN SRI IDRIS JUSOH
Penyandang Parlimen Besut ini mengesahkan beliau tidak bertanding dalam PRU15 bagi memberi laluan kepada orang muda seiring dengan hasrat meremajakan UMNO.
Beliau yang kini berusia 67 tahun dan menggalas jawatan Pengerusi Felda yakin masa depan UMNO jadi lebih bertenaga, cerah dan diminati pengundi dengan barisan kepemimpinan muda.
Untuk rekod, karier politik Idris bermula pada 1995 ketika bertanding pada PRU9 dan menang sebagai Ahli Parlimen Besut ketika berusia 40 tahun namun, penggal seterusnya beliau tewas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh.
Bagaimanapun, anak kelahiran Jertih itu kembali diberi mandat sebagai ADUN Jerteh untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada 2004 dan 2008 sekali gus menerajui BN Terengganu merampas semula pentadbiran kerajaan negeri daripada Pas pada 2004.
Dua penggal berikutnya pula iaitu 2013 dan 2018, Idris kembali bertanding di kerusi Parlimen seterusnya menang sebagai Ahli Parlimen.
5. DATUK SERI MOHAMED NAZRI AZIZ
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas ini mengesahkan beliau tidak bertanding dalam PRU-15 setelah enam kali memenanginya tanpa pernah kalah sekali gus bersara daripada dunia politik.
Antara alasan yang diberikan Mohamed Nazri untuk tidak mempertahankan kerusi tradisinya itu ialah mahu memberi ruang kepada golongan muda.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dikenali sebagai ahli Parlimen UMNO yang lantang bersuara antaranya pernah mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Presiden.
6. DATUK NUR JAZLAN MOHAMED
Jika ahli Parlimen lain mahu berikan peluang kepada calon muda, lain pula alasan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor ini apabila mengesahkan tidak bertanding bagi kerusi Parlimen Pulai kerana peratusan pengundi BN sudah semakin berkurangan.
Pada PRU14, Nur Jazlan buat pertama kali kalah di Parlimen Pulai dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menang dengan majoriti 28,924 undi.
Nur Jazlan sebelum ini mendakwa MIC dan MCA lemah sejak PRU13 dan PRU14 selain mencabar dua parti komponen tersebut bertanding di Parlimen Pulai. Susulan itu, Ketua Penerangan MIC Johor, S. Deva sedia menyahut cabaran Nur Jazlan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada PRU-15.
7. DATUK DR. ABD. LATIFF AHMAD
Penyandang kerusi Parlimen Mersing ini sedia memberi laluan kepada muka baharu bertanding pada PRU-15 selepas enam penggal bergelar ahli Parlimen termasuk lima kali di Mersing.
Pada PRU14, Abd. Latiff memenangi kerusi Parlimen Mersing atas tiket BN dengan memperoleh 19,806 undi sekali gus menewaskan dua pencabarnya dari Pas dan PKR.
Abd. Latiff adalah Ahli Parlimen Mersing daripada BN selama lima penggal, sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Februari 2019.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) meletakkan syarat mahu calon yang menggantikannya nanti adalah dari pada Bersatu kerana yakin Mersing adalah kubu kuat Perikatan Nasional (PN).
8.DATUK SHABUDIN YAHAYA
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang ini mengesahkan beliau tidak mempertahan kerusi Tasek Gelugor yang dimenanginya atas tiket BN pada PRU-15.
Shabudin pernah menjadi ADUN Permatang Berangan sebagai wakil rakyat BN selama dua penggal bermula 2004 hingga 2008, sebelum bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket BN pada PRU13 dan PRU14.
Bagaimanapun, bekas Hakim Mahkamah Syariah berusia 57 tahun itu mengumumkan keluar daripada UMNO pada 14 Disember 2018 dan menjadi wakil rakyat Bebas selama setahun sebelum menyertai Bersatu pada 2019.
Untuk rekod, undi majoriti terkecil direkodkan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU14 apabila Shabudin hanya mampu mempertahan kerusi itu dengan kelebihan 81 undi setelah meraih 18,547 undi.
Pencabarnya, Datuk Marzuki Yahaya (PKR) dan Rizal Hafiz Ruslan (Pas) masing-masing mendapat 18,466 dan 14,891 undi. – UTUSAN










