Najib tidak layak tanding PRU15

Najib tidak layak tanding PRU15

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan perkara itu jelas termaktub dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, satu-satu cara untuk Najib bertan­ding pada PRU15 ialah mendapat pengampunan diraja sebelum hari penamaan calon.

Mohamed Hanif berkata, berdasarkan Perkara 48 itu, Najib secara automatik hilang kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya kerana bekas Perdana Menteri itu dihukum penjara lebih setahun dan didenda lebih RM2,000.

PENGAMPUNAN

“Satu-satu cara Najib boleh bertanding pada PRU15 ialah kena dapatkan pengampunan diraja bagi membatalkan sa­bitan, kesalahan dan hukuman. Sama seperti pengampunan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Kena dapatkan pengampunan sebelum penamaan calon. Satu jam sebelum penamaan calon pun masih boleh diterima. Namun, jika tiada (pengampunan), dia tidak layak bertanding,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman yang memaklumkan Najib boleh bertanding walaupun beliau sedang menjalani hukuman penjara dan pencalonan boleh dihantar menerusi wakilnya.

Haniff kecewa dengan kenya­taan Ab. Rashid kerana apa yang dinyatakan oleh bekas Pengerusi SPR itu bercanggah dengan Perlembagaan dan boleh mengelirukan mas­yarakat.

“Perkara ini perlu berlandaskan fakta kerana termaktub dalam Perlembagaan dan bukannya boleh bagi pendapat dan ulasan begitu sahaja, Sepatutnya dia (Ab. Rashid) tahu perkara ini kerana dia bekas Pengerusi SPR,” katanya.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman berkata, Najib tidak boleh bertanding pada PRU15 kerana telah disabitkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

“Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan.

“Serta dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas,” katanya.

Katanya, walaupun Najib telah memfailkan suatu petisyen bagi pengampunan namun petisyen tersebut hanya menghalang kehilangan kelayakan beliau sebagai ahli Majlis Parlimen sebagaimana yg diperuntukkan di bawah Fasal (4) Perkara 48. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN