Mungkinkah Syed Hussin tanding Bebas di Bukit Gantang

Mungkinkah Syed Hussin tanding Bebas di Bukit Gantang

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH belum jelas sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mencalonkan penyandangnya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad di Parlimen Bukit Gantang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Apa yang pasti, perebutan sengit kerusi itu panas di antara kedua-dua parti.

Syed Abu Hussin sudah mengisytiharkan mahu kekal bertanding di Parlimen itu dan mengaku beliau merupakan calon paling layak.

Malah, umpama menghantar isyarat yang jelas kepada pucuk pimpinan tertinggi PN, Syed Abu Hussin menegaskan sama ada dipilih atau tidak oleh parti sebagai calon, beliau tetap akan bertanding mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14.

Malah, beliau mengumumkan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong.

Dalam masa yang sama, Idris pula yang mengesahkan calon Pas akan mewakili PN di Parlimen Bukit Gantang.

Ini menghangatkan perebutan sebagai calon di antara dua tokoh itu yang masing-masing memiliki kelebihan sebagai anak tempatan dan mempunyai penyokong serta pengaruh yang kuat di Bukit Gantang.

Untuk rekod, Syed Abu Hussin menang Parlimen Bukit Gantang pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional (BN) mengalahkan penyandangnya, Idris dan calon PKR, Khadri Khalil dengan majoriti 4,089 undi.

Persoalannya, jika Syed Abu Hussin tidak dicalonkan oleh PN, mampukah calon lain memenangkan PN dalam pertandingan dijangka empat penjuru.

Bagaimana pula jika Syed Abu Hussin bertanding Bebas?

Bersediakah PN untuk menghadapi kemungkinan hilang kerusi itu sekiranya calon yang diletakkan tewas ke tangan calon Bebas?

Dalam hal ini, pucuk pimpinan tertinggi PN perlu bijak mencari jalan penyelesaian calon di Parlimen Bukit Gantang agar tidak terlepas kerusi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN