MOSTI guna satelit kesan lokaliti risiko  banjir - Utusan Malaysia

MOSTI guna satelit kesan lokaliti risiko  banjir

DR. ADHAM BABA merasmikan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Parlimen Tenggara di Pasaraya Song Mart, Bandar Tenggara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal menggunakan teknologi satelit Malaysian Space Agency (MYSA) untuk mengenal pasti lokaliti yang cenderung dilanda banjir, sekali gus dapat membuat persiapan awal menghadapi bencana alam itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melawat Mranti Technology Park pada Khamis ini dan akan membentangkan mengenai teknologi berkenaan dalam lawatan itu. 

“Saya akan bentangkan kepada Perdana Menteri tompok-tompok lokaliti kecenderungan banjir mudah berlaku kerana MOSTI melalui MYSA sudah ada data-data sebelum ini lokasi yang telah dilanda banjir dengan ukuran hujan.

“Menerusi kerjasama (dengan) Jabatan Meteorologi, kita akan memaklumkan kepada kerajaan potensi berlaku banjir sekiranya monsun. 

“Jadi, kita dapat buat persediaan di mana tempat pemindahan sementara dan sekolah-sekolah yang perlu digunakan untuk urusan mangsa banjir dengan adanya persiapan seperti ini dilihat menggunakan teknologi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Parlimen Tenggara di Pasaraya Song Mart, Bandar Tenggara hari ini.

SATELIT

Dr. Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, selain teknologi satelit,  teknologi dron juga akan digunakan untuk membantu mengesan mangsa di lokaliti terpencil kerana semasa bencana itu mungkin ada antara mangsa yang terputus hubungan disebabkan terputus bekalan elektrik.

“Di MYSA kita gunakan satelit untuk data-data dipanggil pencerapan data. Menerusi pengalaman-pengalaman 10 tahun lepas di mana lokasi banjir telah berlaku, kita buat pemetaan dan gunakan dua kaedah, iaitu menggunakan radar dan optik. 

“Masalah optik bila ada awan satelit tidak boleh tembus tetapi dengan radar boleh tembus awan dan boleh plot kawasan-kawasan banjir,” katanya. 

Sementara itu, Dr. Adham menyambut baik program ReDI di Johor dengan pendekatan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu menjadi cara baharu masyarakat luar bandar menggunakan inisiatif tanpa tunai untuk membeli barangan harian. 

“Dengan adanya ReDI kita dapat maklum tentang tingkah laku masyarakat sebelum dan selepas pandemik dalam penggunaan adaptasi pendigitalan yang dilihat semakin meningkat, sekali gus menambah minat dan kecenderungan masyarakat dalam pendigitalan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya