SHAH ALAM: Suatu perhimpunan membantah keras insiden penculikan warga Palestin terbaharu dan mengugut nyawa pejuang Palestin di Malaysia akan diatur.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid, pihaknya memohon kerajaan Pusat mengeluarkan kenyataan tegas kepada Mossad bahawa agensi penjenayah itu tidak boleh dibenarkan beroperasi di bumi Malaysia.
“Pimpinan parti politik dan kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan mengecam Mossad dan tidak berkompromi sama sekali terhadap agensi itu.
“Satu nota bantahan perlu dihantar kepada Israel melalui Amerika Syarikat yang menjadi penyokong kuat Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan hari ini, polis tidak dapat mengesahkan pembabitan agensi perisikan luar dalam kejadian penculikan lelaki Palestin di Jalan Mayang di ibu negara pada 28 September lalu seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kasim berkata, setakat ini, siasatan masih dijalankan berhubung kes berkenaan.
Mohd.Azmi berkata, pihak keselamatan Malaysia perlu memantau sebarang operasi menggunakan warga Malaysia sebagai ejen Mossad atau mana-mana ejen luar yang mengancam keselamatan negara.
Katanya lagi, Malaysia perlu menghantar surat khas kepada pihak Palestin untuk menjamin keselamatan mana-mana warga Palestin di Malaysia dan bertindak menyelamatkan mereka yang menjadi sasaran Mossad.
“Operasi Mossad di Malaysia yang menggunakan orang tempatan untuk memburu pejuang Palestin Hamas di Malaysia tidak mengejutkan, kami menegaskan pihak berkuasa Malaysia perlu bertindak menyiasat bagaimana hal ini boleh berlaku .
“Negara perlu berada pada kewaspadaan tahap tinggi bila berdepan dengan ancaman operasi Mossad yang boleh menerobos sempadan keselamatan negara.
“Dengan insiden pembunuhan seorang warga Palestin pada 2018 di Kuala Lumpur, sepatutnya pihak keselamatan perlu bertindak mengerakkan agensi intelligent negara membaca operasi Mossad dan memantau situasi dengan terperinci,”ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya menegaskan rakyat tempatan yang rela diperguna oleh Mossad perlu disiasat secara menyeluruh kerana penemuan wujudnya golongan penjenayah terlibat dengan operasi Mossad mungkin sudah membina jaringan yang lebih luas. –UTUSAN