Mangsa tertipu gaji lumayan, rupanya ‘neraka’

Mangsa tertipu gaji lumayan, rupanya ‘neraka’

MANGSA penipuan pekerjaan menunggu menjalani pemeriksaan kesihatan di Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Kami dipaksa untuk mencapai sasaran menarik pelaburan wang digital RM7,500 seminggu, dan jika gagal dipaksa bekerja sehingga larut malam. Kami tidak membantah kerana bimbang keselamatan diri, sehingga ada diacu pistol, dipukul dan dimaki.”

Inilah antara pengalaman yang dikongsi rakyat Malaysia yang terperangkap sehingga menjadi mangsa kepada sindiket pekerjaan di luar negara termasuk Kemboja tanpa menyedari syurga gaji lumayan yang dikejar akhirnya bertukar menjadi ‘neraka’ di tanah asing.

Seorang wanita berusia 30 tahun yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja mendedahkan, pergerakan mereka dipantau setiap masa, termasuk ketika mahu keluar untuk mendapatkan barangan keperluan.

Katanya, dia ditawarkan bekerja di Kemboja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kasino dengan bayaran gaji AS$1,000 sebulan dan menerima tawaran itu bagi mengumpulkan duit untuk persiapan perkahwinannya.

“Saya dan tunang menerima tawaran pekerjaan berkenaan, namun terperanjat apabila dimaklumkan akan melakukan kerja yang tidak berkaitan dengan tawaran asal. Kami dipaksa menjadi ‘scammer’ dengan menipu orang tempatan untuk membuat pelaburan wang digital.

“Sekiranya enggan bekerja, mereka meminta kami membayar RM15,000 untuk pulang ke Malaysia dan kerana tiada pilihan kami terpaksa ikut selain bimbang diugut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sepanjang berada di sana, mereka ‘dikurung’ di sebuah bangunan yang merupakan pusat penginapan dan pusat operasi sindiket tersebut.

“Pergerakan kami dikawal, sehinggakan jika mahu keluar untuk mendapatkan barangan keperluan atau untuk memotong rambut, akan ada orang yang ‘menjaga’ dan ‘memerhati’.

“Sepanjang tempoh tiga bulan di sana, saya hanya menerima sekali bayaran, AS$400 sahaja, mangsa-mangsa lain juga menerima bayaran lebih kurang sama,” katanya sambil memberitahu mangsa sindiket itu turut dalam kalangan warga Indonesia, China dan India.

Seorang mangsa lelaki berusia 34 tahun memberitahu, mereka ditempatkan di dalam sebuah hotel yang dijadikan pusat operasi sindiket tersebut di Kampung Sok, Phnom Penh.

Bangunan setinggi lapan tingkat dengan enam tingkat pertama dijadikan hostel penginapan dengan seramai enam orang berkongsi sebuah bilik, manakala tingkat tujuh dan lapan sebagai pusat operasi.

“Apabila sampai di sana pekerjaan yang ditawarkan indah khabar daripada rupa. Bulan pertama dan kedua saya hanya terima separuh tawaran gaji, AS$500 sebulan, selebihnya tidak dapat kerana gagal penuhi sasaran ditetapkan.

“Mereka meminta kami mencapai sasaran menarik pelaburan wang digital sebanyak RM7,500 seminggu, dan jika gagal akan dipaksa untuk bekerja lebih masa sehingga tengah malam. Kami memang tidak membantah kerana bimbang dengan keselamatan diri, sehingga ada yang diacu pistol, dipukul dan dimaki,” jelasnya.

Justeru, katanya, jika menerima tawaran lumayan, selidik dahulu kebenarannya, jangan sampai terjerat dan kemudian menangisi kesilapan diri yang mungkin sudah terlambat.

Kerajaan negeri telah berjaya membawa pulang tujuh mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja yang merupakan rakyat negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, kerajaan negeri akan membantu rakyat Johor yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan luar negara untuk mendapatkan pekerjaan baharu yang bersesuaian.

“Kita memang memahami keperluan anak-anak muda negeri ini yang mahukan pekerjaan untuk masa depan, dan kerajaan negeri akan bantu dapatkan pekerjaan termasuklah mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan luar negara.

“Oleh itu, saya ingatkan belia negeri ini agar melihat peluang-peluang pekerjaan yang terdapat di sini terlebih dahulu. Ini kerana terdapat lebih 50,000 pekerjaan dan hanya kira-kira 31,000 sahaja yang telah diisi. Jadi masih banyak lagi kerja kosong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN