KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan hasil siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan Kertas Pandora, Oktober tahun lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, perkara itu menimbulkan persoalan apabila terus sepi sedangkan ia membabitkan bekas pemimpin negara.
“(Sekarang kita boleh lihat) duit Felda dicuri, duit Felcra hilang, kapal tempur pesisir pantai (LCS) dan Lembaga Tabung Haji pun, sebut sajalah jabatan atau agensi, (maka) wang hilang.
“Kertas Pandora, duit bawa keluar itu berpuluh bilion dan tak ada (hasil) siasatan.
“Apabila di Parlimen Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bagi jaminan mahu siasat, tetapi diam. Mana dia SPRM,” katanya pada Jelajah Rakyat Bandar Tun Razak, di sini, malam tadi.
Kertas Pandora menjadi isu hangat selepas Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) tahun lalu apabila mendedahkan, siasatan dijalankannya mendapati beratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang serta pelaburan hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 26 tahun lepas.
Siasatan dikenali sebagai Kertas Pandora itu menyatakan perkara berkenaan didedahkan menerusi 12 juta fail dimiliki 14 firma di serata dunia.
Turut disenaraikan ialah dua individu dari Malaysia yang didakwa antara 336 ahli politik memiliki akaun luar pesisir, malah terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari negara ini.
Pada 16 Oktober tahun lalu, media melaporkan SPRM akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi siasatan lain bagi menyiasat tentang pendedahan tersebut.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyeru orang ramai memberi peluang kepada PH untuk memerintah semula negara ini.
Katanya, prestasi 22 bulan pemerintahan PH sebelum ini tidak patut dijadikan alasan kerana pemerintahan itu diketuai oleh individu lain, dan bukannya beliau.
“Saya mampu rayu saja kepada rakyat bagi peluang tukar (kepada PH). (Kena fikir) 22 bulan itu ketuanya siapa? Sekarang pula (jika) menang ketuanya siapa?
“Orang kata PH dan PKR Melayu campur, jadi buruk-buruk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) (tetap) Melayu Islam, tetapi itu fahaman orang diracun.
“(Patutnya) tengok dasar kita, tengok pendirian (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke Siew Fook dan (Presiden Parti Amanah) Mohamad Sabu serta keadaan kita.
“Jadi kuasa mesti kembali kepada rakyat. Kita boleh lawan lebih berkesan jika rakyat bangkit. Kali ini kita punya majoriti perintah negara,” katanya. – UTUSAN










