Lindungi B40 terus jadi mangsa syarikat tembakau

Lindungi B40 terus jadi mangsa syarikat tembakau

KHAIRY Jamaluddin (belakang, tengah) bergambar bersama petugas portal KKMNow selepas Majlis Pelancaran Portal KKMNow di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tujuan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 digubal adalah bagi melindungi rakyat negara ini terutama dalam kalangan B40 daripada terus menjadi mangsa syarikat tembakau.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mendapati golongan B40 paling ramai yang terkesan akibat penggunaan tembakau berbanding kelompok lain. 

Katanya, majoriti rakyat yang mengalami komplikasi akibat rokok seperti sakit jantung, kanser, penyakit paru-paru adalah golongan B40.

“Golongan B40 menjadi kumpulan sasaran bagi syarikat tembakau. Adalah tidak masuk akal, kerajaan mahu menyusahkan mereka. 

“Kerajaan sebenarnya mahu melindungi kumpulan ini daripada syarikat pembunuh ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Portal KKMNow Kementerian Kesihatan di pejabatnya hari ini. 

Khairy berkata, tuduhan mengatakan RUU ini akan menjenayahkan kanak-kanak adalah mengelirukan rakyat sedangkan kompaun kepada bukan orang dewasa memang wujud dalam peraturan sedia ada. 

Katanya, RUU ini bukan untuk mendaftarkan kanak-kanak sebagai penjenayah kerana ia adalah kes saman dan tidak masuk penjara. 

“Malah tiada pun hukuman penjara bagi orang bukan dewasa ataupun RUU baharu yang lahir selepas itu. Ia tidak ada kes jenayah, semua adalah kes saman. Jangan kelirukan rakyat dengan dakwaan sedemikian, ia tidak betul. 

“Seperti contoh, jika seorang kanak-kanak ditahan kerana membeli rokok, dia hanya akan disaman RM50 dan tiada rekod malah jumlah saman itu, boleh dibayar dan tidak perlu ke mahkamah dan ia sama juga dengan RUU yang baharu ini,” katanya. 

Beliau berkata, RUU ini melalui pelbagai proses perbincangan melalui jawatankuasa khas yang dianggotai ahli dari semua parti politik utama. 

Katanya, semua parti seperti Amanah, DAP dan PKR juga bersetuju dengan pindaan itu.

“Bagaimanapun, saya difahamkan memorandum itu diserahkan oleh seorang individu yang mewakili satu kumpulan atau organisasi yang difahamkan ada berita mengatakan ia ditaja. 

“Perlu ingat, kita perlu betul-betul bebaskan diri daripada sebarang kepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN