SUNGAI PETANI: Datuk Suraya Yaacob yang meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah enggan memberi komen mengenai keputusannya itu.
Malah, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang ketika dihubungi turut memaklumkan belum tentu lagi beliau akan bertanding bagi mana-mana kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri yang dikosongkan Suraya akan digantikan dengan Exco baharu.
Beliau berkata, pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Ketua Penerangan UMNO Kedah itu dan turut tidak dimaklumkan alasan beliau berbuat demikian.
“Suraya sudah serahkan fail-fail berkaitan portfolionya dan kita rancang untuk penggantian Exco baharu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sini semalam.
Ditanya sama ada peletakan jawatan Suraya disebabkan spekulasi bahawa wanita itu akan bertanding kerusi Parlimen, Muhammad Sanusi menjawab ada kemungkinan.
Terdahulu, Suraya dalam kenyataan akhbar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kedah berkuat kuasa serta-merta.
Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas perkenan baginda melantiknya ke jawatan tersebut.
Ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada barisan Exco dan kerajaan negeri serta agensi dan jabatan yang berkaitan dengan portfolionya selama ini.- UTUSAN










