ROMPIN: Tiga kru kapal pengangkut pasir warganegara Vietnam maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di perairan Tanjung Seratus, Kuala Rompin, di sini, kira-kira pukul 2 pagi hari ini.
Ketika kejadian, ketiga-tiga lelaki terbabit berada dalam bahagian perut kapal sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri.
Semua mangsa berjaya dikeluarkan hasil dalam operasi bantuan membabitkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, operasi membabitkan kekuatan seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin.
“Operasi membawa keluar mangsa berdepan sedikit kesukaran kerana ruangan dalam kapal yang sempit. Namun, kita berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan tali.
“Ketika operasi dijalankan, semua mangsa disahkan sudah meninggal dunia ketika dibawa keluar oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, kes berkenaan disiasat pasukan polis untuk mendapatkan maklumat lanjut. –UTUSAN