KUALA LUMPUR: Kerajaan diberi tempoh dua bulan lagi untuk mempertimbang cadangan sekumpulan bekas hakim kemungkinan saman pemula yang dikemukakan mereka untuk mendapatkan pelarasan kenaikan pencen dan faedah, diselesaikan di luar mahkamah.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan pengurusan kes terakhir pada 7 Disember ini bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan dan status rundingan kepada mahkamah.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berpendirian, jika tiada sebarang keputusan ke arah penyelesaian dicapai pada prosiding akan datang, mahkamah akan memberikan arahan berkaitan perkembangan perbicaraan kelak.
Perkembangan tersebut dimaklumkan kepada wakil media oleh peguam Christopher Leong yang mewakili bekas-bekas hakim pada sesi pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid hari ini.
Menurut Christopher, pihaknya memohon tempoh tiga bulan untuk perbincangan lanjut berhubung cadangan penyelesaian luar mahkamah tanpa prejudis.
Menurut beliau, mahkamah mengambil maklum bahawa hampir 10 bulan berlalu sejak saman itu difailkan pada 24 Januari lalu dan diserahkan kepada responden-responden, sebulan kemudian.
Ujar Christopher, sehubungan itu mahkamah bersetuju untuk memberi tempoh dua bulan lagi kepada responden-responden untuk meneliti cadangan itu.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pengurusan kes bagi memaklumkan perkembangan sama ada saman pemula itu kemungkinan diselesaikan tanpa perbicaraan.
Pada 14 Julai lalu, mahkamah diberitahu, seramai 28 pesara hakim bersama tujuh balu dan tanggungan mereka mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menyelesaikan kes saman pemula berhubung dakwaan kegagalan melaraskan kenaikan pencen dan faedah yang diterima mereka sejak 2015.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan ketika itu mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima kertas cadangan itu pada 1 Julai lalu namun tiada arahan dikeluarkan.
Ujarnya, pihak AGC telah memanjangkannya kepada kerajaan yang juga dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula tersebut dan memohon tempoh untuk mendapat arahan lanjut.
Pada pengurusan kes 26 Mei lalu, defendan-defendan memaklumkan keterbukaan mereka untuk berbincang tanpa prejudis sama ada saman pemula itu kemungkinan diselesaikan secara baik.
Cadangan tersebut sebelum ini disuarakan oleh Hakim Wan Ahmad Farid supaya kedua-dua pihak berbalah meneroka kemungkinan sama ada tuntutan saman 35 bekas hakim termasuk balu dan tanggungan mereka, dirujuk kepada perantara.
Pada 24 Januari lalu, sejumlah 28 bekas hakim serta balu dan tanggungan mereka memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga yang lain kerana gagal memberikan kenaikan pencen yang sepatutnya diterima sejak 2015.
Mereka ialah bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan dua bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan bekas Hakim Besar Malaya wanita pertama, Tan Sri Siti Norma Yaakob.
Turut dinamakan sebagai plaintif dalam saman pemula itu ialah tujuh balu kepada bekas-bekas hakim termasuk balu kepada bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad.
Beberapa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan turut dinamakan sebagai plaintif ialah Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Mahdev Shankar, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md. Yunus dan Datuk Shaik Daud Ismail.
Selain Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam turut dinamakan sebagai defendan kedua hingga keempat.
Menurut penyataan yang difailkan, plaintif-plaintif terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan yang telah bersara atau orang tanggungan hakim-hakim berkenaan yang telah meninggal dunia.
Ujarnya, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim-hakim bersara dan tanggungan yang meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim-hakim yang masih berkhidmat dan disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Cara pengiraan pelarasan tersebut dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta tersebut namun Jadual terbabit telah dipadamkan menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim-hakim yang sedang berkhidmat telah dinaikkan berkuatkuasa dari 1 Julai 2015.
“Di bawah peruntukan seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.
Bagaimanapun, mengikut peruntukan seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim-hakim yang masih bekerja,” ujar dokumen terbabit.
Keadaan tersebut menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Januari 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada yang sepatutnya.
Menurut Perkara Artikel 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan, hak pencen seseorang hakim dilarang atau secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikannya selepas pelantikannya.
Plaintif mendakwa kesemua defendan bertanggungjawab membayar pencen dan faedah dengan kenaikan melebihi dua peratus setiap tahun.
Oleh itu, kesemua plaintif memohon deklarasi defendan-defendan telah melanggar Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkata 125(9) Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana mereka gagal menetapkan peratusan kenaikan melebihi dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain sebaik sahaja kenaikan gaji hakim-hakim dan pesuruhjaya kehakiman yang sedang berkhidmat berkuatkuasa 1 Julai 2015.
Plaintif turut memohon deklarasi bahawa seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 adalah peruntukan mandatori yang terpakai serta merta dan boleh mengakibatkan kerugian bagi hakim-hakim bersara dan orang tanggungannya.
Selain itu, plaintif memohon agar kesemua defendan kedua dan ketiga menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk menetapkan kenaikan peratusan lebih tinggi daripada dua peratus setahun ke atas pencen dan faedah berkuat kuasa 1 Julai 2015.
Kesemua plaintif juga memohon satu perintah ke atas semua defendan agar membayar setiap plaintif jumlah pencen dan faedah yang sepatutnya diterima bermula 1 Julai 2015 dan semua pembayaran hendaklah dibuat serta merta selepas penghakiman dibuat.
Plaintif juga memohon ialah faedah pra-penghakiman dan penghakiman sebanyak lima peratus setiap satu dari tarikh penghakiman dibuat sehingga penyelesaian penuh. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. –UTUSAN