KUALA TERENGGANU: Pas akan membuat keputusan sama ada mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) i tiga negeri yang dikuasainya hari ini.
Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bermesyuarat hari ini akan mengumumkan pendirian parti itu terhadap DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini, belum ada mesyuarat berhubung perkara itu walaupun Parlimen dibubarkan sejak Isnin lalu.
“Esoklah (hari ini). Perkara itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi oleh Setiausaha Agung Pas, (Datuk Seri Takiyuddin Hassan).
“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat pagi esok. Jadi, pengesahan yang muktamad esok (hari ini) kerana tidak ada lagi mesyuarat (berhubung perkara ini) buat masa sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Ditanya mengenai jangkaan beliau akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pula, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana hanya Parlimen yang dibubarkan buat masa sekarang.
“Jika DUN tidak akan dibubar, tidak akan menghadap sultan. Rutin mingguan setiap kali sebelum mesyuarat Exco saya akan menghadap sultan (sembah maklum perkembangan semasa) macam pagi ini,” katanya.
Ditanya senarai calon untuk lapan Parlimen di Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu masih belum diputuskan dengan muktamad bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Belum ada kata putus sama ada dua atau tiga kerana belum berbincang lagi, tunggu tarikh sesuai untuk mesyuarat dengan Bersatu.
“Tidak sukar untuk Perikatan Nasional menyenaraikan nama calon kerana ada ramai yang berpotensi. Hantar banyak mana pun akhirnya hanya seorang sahaja yang akan terpilih,” katanya.
Daripada lapan kerusi Parlimen di Terengganu enam dikuasai Pas iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.
BN pula menang di dua kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu namun, tindakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid melompat ke Bersatu menyebabkan BN hanya ada satu kerusi Parlimen ketika ini. – UTUSAN










