Kawasan rendah di Perlis dinaiki air

Kawasan rendah di Perlis dinaiki air

SEBUAH keluarga terpaksa berteduh di sebuah pondok berhampiran selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras lutut di Kampung Bakau, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang warga emas bersama keluarganya dari Kampung Bakau di sini terpaksa berpindah sementara ke sebuah pondok berdekatan rumah selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras lulut ekoran hujan lebat yang melanda negeri ini.

Hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi itu turut menyebabkan beberapa kawasan rendah lain sekitar di negeri ini dinaiki air namun menjelang petang keadaan air semakin surut.

Seorang penduduk, Rozina Arshad,54, berkata, dia mula menyedari air memasuki rumahnya kira-kira pukul 7 pagi dan bergegas memindahkan barang ke tempat tinggi.

“Saya bersama sembilan anggota keluarga terkejut selepas air naik secara tiba-tiba dan kami terus menutup sumber elektrik dan menyelamatkan barangan lain.

“Air naik dengan begitu cepat sehingga mencecah paras lutut sebelum kami membuat keputusan berpindah ke sebuah pondok berdekatan rumah untuk berlindung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri memaklumkan, antara kawasan rendah dinaiki air adalah di sekitar Titi Chai, Kampung Sentua, Seriab dan Kampung Bakau.

“Selain Kangar, kawasan taman perumahan di Kuala Perlis turut dinaiki air,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang meninjau penduduk terjejas di kawasan berkenaan memberitahu, sebanyak lapan buah rumah membabitkan 40 penduduk terlibat banjir di kawasan Kampung Bakau.

Katanya, air mula naik di kawasan berkenaan sejak pukul 7 pagi dan keadaan semakin surut menjelang petang ini.

“Kita datang meninjau dan melihat keperluan yang boleh dibantu terhadap penduduk yang terjejas ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga esok di seluruh negeri Perlis dan Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya