GEORGE TOWN: Perbezaan budaya, kaum dan agama tidak menjadi halangan kasih sayang antara Nur Adelia Raisya Mohd. Hafeez, tujuh bulan dengan pengasuhnya yang berbangsa India, A. Thiwali, 61.
Kisah kedua-dua mereka yang dimuat naik ke media sosial oleh ibu bayi tersebut, Nur Syahirah Khalid, 28, mendapat maklum balas positif daripada netizen yang menyifatkan kasih sayang antara mereka amat unik kerana merentasi halangan kaum.
Ibu bayi berkenaan yang lebih mesra disapa Arra berkata, tiada yang lebih menggembirakan hatinya apabila melihat tautan kasih sayang yang erat antara anak keempatnya itu bersama Thiwali.
Menceritakan kembali bagaimana dia boleh menemui Thiwali yang merupakan jiran sebelah rumahnya di Jalan Batu Gantung, Ayer Itam di sini, Arra berkata, dia berdepan kesukaran mencari pengasuh kepada anaknya itu memandangkan tugasnya sebagai seorang jururawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang tidak menentu masa.
“Saya bekerja tiga syif, jadi, memang sangat sukar mencari pengasuh yang boleh menjaga anak saya, suami saya pula bekerja di Manjung, Perak dan tiga anak kami berusia enam hingga dua tahun dijaga suami di sana.
”Bayi saya pula berdepan masalah kerap menangis waktu malam, pada mulanya, dia dijaga ibu saya di Kelantan, namun, kerana ibu saya kurang sihat saya memutuskan untuk membawa Nur Adelia ke Pulau Pinang bersama saya,” katanya di sini hari ini.
Arra berkata, dia telah mencari pengasuh untuk menjaga bayinya itu selama lebih sebulan namun ramai yang menolak kerana dia bekerja tiga syif.
“Akhirnya, teman serumah saya yang berbangsa India mencadangkan kepada saya untuk bertanya jiran sebelah rumah kami sekiranya dia boleh menjaga anak saya.
”Saya pun memberanikan diri bertanya Thiwali dan tidak sangka dengan segera dia bersetuju menjaga Nur Adelia tanpa meletakkan sebarang syarat atau harga,” katanya.
Tambahnya, Nur Adelia mula dijaga Thiwali sejak Julai lalu dan dia terharu apabila anaknya itu tidak lagi menghadapi masalah menangis pada waktu malam seperti sebelum ini.
”Thiwali atau lebih mesra dipanggil Pathi menjaga anak saya seperti cucunya sendiri, empat anak Patti juga sangat sayangkan Adelia, malah, mereka memberi nama timangan Liya kepada anak saya.
”Patti juga meminta izin membawa Liya pulang ke kampung di Sungai Petani bagi bersama-sama menyambut perayaan Deepavali dan saya benarkan dia membawa pulang anak saya.
”Saya bersyukur kerana dapat menemui pengasuh yang bertanggungjawab serta menyayangi anak saya seperti cucu sendiri dan saya berharap kasih sayang mereka berkekalan,” katanya. –UTUSAN