Tokoh Belia cabar Tok Mat di Rembau?

Tokoh Belia cabar Tok Mat di Rembau?

JUFITRI JOHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha difahamkan akan bertanding di kerusi Parlimen Rembau atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, Jufitri yang juga Tokoh Belia Negara 2014 dikatakan mendapat sokongan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi bertanding di kerusi berkenaan.

“Setakat ini tiada nama lain yang disebut untuk bertanding di kerusi berkenaan, PKR akan meletakkan Jufitri lagipun beliau sememangnya berasal dari Rembau.

“Perkara ini bagaimanapun akan disahkan sendiri oleh Anwar apabila mengumumkan calon-calon Parlimen bagi PKR Negeri Sembilan di Port Dickson, esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, selepas tidak lagi memikul tugas sebagai Presiden MBM, Jufitri sememangnya dilihat berada dan terlibat secara langsung dalam program yang melibatkan Anwar.

Sekiranya benar, Parlimen Rembau bakal menyaksikan pertembungan menarik apabila Jufitri yang juga bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dijangka berdepan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi berkenaan.

Ia selepas penyandang kerusi itu selama tiga penggal yang juga Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah membeli laluan kepada Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau untuk bertanding di Parlimen buat kali pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN