Jangan lewat salur insentif penjawat awam, perlu ikut masa tanpa

Jangan lewat salur insentif penjawat awam, perlu ikut masa tanpa birokrasi

cuepacs
Adnan Mat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan diharap dapat menyalurkan segala inisiatif baharu yang diumumkan kepada penjawat awam dalam Bajet 2023 serta pengumuman menerusi Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 lalu disalurkan mengikut tempoh masa ditetapkan tanpa sebarang kelewatan serta proses birokrasi.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, antara perkara baharu yang diumumkan itu ialah kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus atau maksimum 90 hari berbanding 80 hari sebelum ini.

Ini termasuk pembayaran bantuan khas kewangan Aidilfitri RM600 yang dibayar pada Mac 2023. 

“Cuepacs tidak mahu inisiatif yang diumumkan ini lewat, tidak dilaksanakan atau ditetapkan mengikut jumlah peruntukan yang tertentu. 

“Mengambil contoh penebusan awal GCR, peruntukan setiap kementerian dan jabatan bagi menebus GCR 80 hari pada tahun ini didapati tidak mencukupi dan telah habis digunakan sehingga banyak permohonan daripada penjawat awam tidak dapat ditunaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, situasi tersebut sudah tentu memberi kekecewaan kepada warga perkhidmatan awam yang sudah dijanjikan dengan inisiatif berkenaan tetapi tidak dapat menerimanya. 

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan sewajarnya menyalurkan peruntukan untuk penebusan GCR berdasarkan permohonan dari masa ke masa dan bukannya memberikan sejumlah peruntukan tertentu yang tidak akan ditambah jika habis digunakan. 

Selain itu, katanya, segala inisiatif yang diumumkan untuk penjawat awam dan rakyat perlu dilaksanakan walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan pada masa akan datang. 

“Segala inisiatif yang baik ini wajar diteruskan oleh kerajaan yang baharu dan tidak perlu dibatalkan sebaliknya ditambah dengan lebih baik.

“Dalam masa yang sama, Cuepacs yakin dan memberi jaminan seluruh penjawat awam akan meletakkan keutamaan bagi menjayakan Bajet 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Bajet 2023 ini bukan sekadar apa yang penjawat awam terima tetapi bagaimana untuk memastikan rakyat mendapat manfaat secara komprehensif. 

Jelasnya, komitmen daripada seluruh warga penjawat awam dituntut bagi memastikan segala aspirasi kerajaan melalui Bajet 2023 ini dapat direalisasikan dengan jayanya agar rakyat mendapat manfaat. 

Dalam hal ini, katanya, penjawat awam mempunyai tugas paling berat dalam memastikan dasar dan rangka tindakan belanjawan berjaya dilaksanakan. 

“Tanggungjawab ini berkait dengan usaha dan proses penambahbaikan serta penyampaian sistem tadbir urus berkesan daripada seluruh warga perkhidmatan awam kerana kitalah tonggak pentadbiran negara. 

“Sokongan daripada seluruh rakyat juga perlu untuk bersama dengan warga perkhidmatan awam, menggembleng tenaga dan berganding bahu bagi membawa negara kembali gemilang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya