HULU TERENGGANU: Seorang ibu tunggal yang menghidap pelbagai jenis penyakit dan kabur penglihatan terpaksa menumpang di rumah rakannya setelah tidak mempunyai tempat berteduh sejak sebulan lalu.
Norshamsiah Saad, 42, yang merupakan seorang pembantu penyajian makanan di sebuah taska di Dungun mendakwa tiada pilihan lain selain meminta pertolongan sahabatnya, Wan Saripah Wan Ismail, 42, di Kampung Tok Dor, Ajil, di sini setelah tidak ada ahli keluarga sanggup menjaganya.
Menurut Norshamshiah, kesihatannya semakin merosot sehingga memerlukan tongkat untuk berjalan apabila dua jari kaki sebelah kanan termasuk ibu jari terpaksa dipotong ketika pembedahan di Hospital Kemaman akibat kencing manis pada Disember 2021.
“Saya juga hidap darah tinggi, masalah paru-paru dan penglihatan juga makin hari kian kabur. Saya juga dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana masalah kesihatan September lalu.
“Saya mempunyai empat beradik dan saya anak bongsu. Sebelum ini, saya menumpang rumah kakak di Dungun, namun dalam keadaan kesihatan saya begini mungkin dianggap sebagai satu beban kerana tidak dapat lagi uruskan diri sendiri seperti sedia kala.
“Ibu bapa saya pula meninggal dunia ketika masih bersekolah dan saya mempunyai seorang anak berusia 14 tahun yang kini tinggal bersama bekas suami di Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kampung Tok Dor Ajil, di sini, semalam.
Tambah Norshamsiah, pada masa ini dia hanya bergantung kepada simpanan demi kelangsungan hidup sejak mula bercuti tanpa gaji pada Disember tahun lalu dan baru sahaja membuat permohonan dengan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira dua bulan lepas.
“Saya dapat kelulusan cuti tanpa gaji setahun sahaja sehingga Disember ini. Melihat keadaan diri sekarang, mustahil untuk kembali bekerja semula.
“Kalau boleh, saya ingin tinggal di mana-mana rumah kebajikan di Terengganu ini secepat mungkin. Saya benar-benar berharap kepada semua pihak berkaitan kerana tiada tempat lain lagi untuk saya.
“Saya juga tidak mahu terus susahkan kawan saya dengan tinggal di rumahnya kerana dia sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak,” ujarnya.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 163082410360.- UTUSAN









