TAMPIN: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sembilan mendapati kurang 500 hektar tanah sawah diusahakan bagi tanaman padi di negeri ini berbanding luas tanah sawah keseluruhan 1,194.49 hektar.
Pengarahnya, Hyder Jaleel Gafoor Abdul Rasheed berkata, terdapat lima daerah yang berdaftar memiliki keluasan tanah bagi tujuan tanaman padi iaitu yang terbesar di Kuala Pilah membabitkan keluasan 541.15 hektar, diikuti Jempol (265.5 hektar), Jelebu (188.78 hektar), Tampin (172.06 hektar) dan Rembau (27 hektar).
Bagaimanapun, menurut beliau, keluasan tanah berkenaan tidak digunakan sepenuhnya bagi penghasilan padi yang seterusnya untuk membantu jaminan keselamatan makanan negara.
“Hanya sekitar 300 hingga 500 hektar daripada keluasan tanah di negeri ini yang berjaya diusahakan dengan tanaman padi. Bagi setiap hektar mampu menghasilkan sekitar tiga hingga empat tan padi.
“Antara sebab tanah tidak diusahakan dengan tanaman padi kerana masalah pengairan. Kami akan membuat majlis perundingan dengan kerajaan negeri bagi membolehkan masalah pengairan di tanah sawah dapat diatasi,” kata beliau pada Program Mengemping Padi Pertubuhan Peladang Kawasan Tampin (Tanggamas) di Kampung Londah di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Datuk Abd. Razak Ab. Said dan Pengerusi Jemaah Pengarah Tanggamas, Razali Abdul Jalil.
Sementara itu, Razali berkata, program mengemping berkenaan diusahakan oleh Peladang Muda dalam usaha mengimbau tradisi masyarakat Melayu yang kebiasaannya dibuat sebagai tanda masuknya musim menuai.
Menurutnya, generasi muda sudah tidak berpeluang untuk menyaksikan aktiviti mengemping seperti generasi terdahulu.
“Pesta mengemping merupakan aktiviti popular zaman dahulu. Ia sangat dinantikan terutama kalangan pemuda kerana pada masa itu mereka dapat mencari pasangan memandangkan anak-anak gadis akan keluar rumah membantu aktiviti ini,” katanya.- UTUSAN