Hantar pelajar tercicir ke IPTS - Utusan Malaysia

Hantar pelajar tercicir ke IPTS

Ada cadangan sistem UPU dirombak semula manakala pelajar yang tercicir ke universiti awam dihantar ke IPTS. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Unit Pe­ngambilan Universiti (UPU) perlu diperbetulkan bagi memas­tikan pelajar cemerlang tidak ter­­cicir daripada mendapat tem­pat di universiti awam atau kerajaan perlu mewujudkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Alasan 20 universiti awam pe­nuh tidak akan menyelesai­kan masalah sebaliknya Kemen­te­rian Pengajian Tinggi perlu tam­pil dengan pelan menyeluruh ter­­ma­suk menjalin kerjasama de­­ngan IPTS bagi menempatkan ham­pir 20,000 pelajar cemerlang yang tidak terpilih ke UA.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, sistem kemasukan universiti kerajaan tidak sepatutnya mengetepikan pelajar cemerlang hanya kerana tiada kekosongan.

Menurut beliau, universiti-universiti berprestij di luar negara tidak pernah mengetepikan pelajar cemerlang malah ada yang menawarkan biasiswa penuh bagi mereka me­lanjutkan pengajian.

KURSUS

“Kita tidak boleh kata ha­nya kerana pengambilan kursus sudah penuh, maka tidak boleh ambil. Sistem UPU sekarang perlu diperbetulkan. Universiti-universiti awam perlu cari jalan, tawar balik kepada ‘budak-budak bijak’ ini dengan kursus yang mereka inginkan, tak boleh buang begitu sahaja.

“Ada pelajar cemerlang dapat gred tinggi memohon di sebuah universiti di United Kingdom, dia dapat sampai tiga tawaran tetapi tidak dapat UPU. Macam mana universiti kita nak jawab,” soalnya ketika dihubungi.
Kata Ibrahim, sistem UPU yang digunapakai di negara ini seolah-olah sistem kemasukan ke universiti pada zaman dahulu hinggakan pelajar cemerlang perlu belajar di luar negara kerana kekurangan tempat di negara sendiri.
“Jangan aniaya pelajar cemerlang, beri peluang kepada mereka. Ini tidak, dah macam zaman dahulu, pelajar cemerlang terpaksa belajar di luar negara kerana tak banyak universiti. Sekarang pun pelajar cemerlang kena belajar di luar negara walaupun universiti di Malaysia sudah banyak,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Pe­ngajian Tinggi mengumumkan hampir 20,000 calon layak dan melepasi syarat am, gagal mendapat tawaran kali pertama ke universiti yang diumumkan pada 25 September lalu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar dilaporkan berkata, pihaknya menerima sejumlah 115,477 permohonan daripada calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, namun, hanya 90,745 calon layak dan melepasi syarat am berbanding 71,615 kapasiti tempat yang disediakan di 20 UA bagi kemasukan sesi akademik 2022/2023.

Bagaimanapun, pelajar yang gagal permohonan kali pertama itu boleh membuat rayuan yang dibuka sehingga 5 Oktober ini.

BERPUTUS ASA

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, pelajar yang gagal tidak boleh berputus asa kerana peluang mereka masih cerah untuk melanjutkan pe­ngajian di IPTS yang kualitinya sama dengan UA.

Menurut beliau, KPT mungkin boleh melihat kerjasama menghantar pelajar cemerlang ke IPTS yang setanding dengan pencapaian pelajar tersebut.

Namun katanya, pelajar yang dihantar ke IPTS perlu menanggung kos yuran lebih tinggi berbanding UA.
Bagaimanapun, kata beliau, mereka boleh memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi

Nasional (PTPTN) atau mana-mana biasiswa lain.
“Apatah lagi kerajaan kini memberikan pembiayaan 100 peratus kepada pelajar M40 dan B40 untuk mendapat pinjaman PTPTN.

“Jadi saya melihat mereka boleh menyam­bung pengajian ke IPTS sekiranya mahu melalui cara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ra­duan, calon yang gagal ke UA sekarang masih ada masa untuk membuat rayuan sehingga 5 Oktober ini.

“Sebenarnya ada peluang kedua buat mereka, jangan putus asa dan masih ada harapan ketika memohon rayuan. Malah terdapat UA membuka permohonan secara terus dimana mereka boleh berbuat demikian,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN