KOTA BHARU: Pas menganggap Felda bukan lagi deposit tetap UMNO berikutan suasana politik negara yang sudah berubah dan generasi baharu tidak lagi fokus kepada satu parti.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau sendiri pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) tahun 1999.
Menurutnya, sembilan daripada 10 kawasan peti undi di DUN Jengka melibatkan Felda, namun beliau mampu memperoleh kemenangan di bawah tiket Pas pada ketika itu.
“Tumpuan kita pada ketika ini adalah untuk melihat sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) di seluruh negara dan saya tengok ‘mood’ sangat positif termasuk anak-anak muda juga memberikan sokongan mereka.
“Sesetengah anak muda kini sudah bosan dengan pelbagai kes rasuah, kes mahkamah dan kegagalan 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan warga Felda merupakan deposit tetap BN selepas merasmikan Karnival Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Ismail Sabri berkata, warga Felda begitu setia kepada kerajaan sekali gus terus menjadi deposit tetap kerajaan BN pada PRU15.
Penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, rakyat kini sudah merasai pentadbiran yang begitu lama di bawah BN dan 22 bulan memeritkan di bawah PH.
Katanya, PN adalah tawaran baharu kepada rakyat untuk melihat masa depan berbeza negara ini dan sasaran PN adalah mencapai kemenangan menyeluruh di Semenanjung Malaysia.
“Usaha ini sedang kita pantau dengan rapi dan semalam kita telah menyelesaikan isu agihan kerusi dengan parti-parti komponen. Di Semenanjung adalah Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan.
“Pembahagian kerusi di Sabah dan Sarawak juga telah diselesaikan. Sabah adalah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) manakala Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS). Jadi secara keseluruhan agihan kerusi PN sangat mudah,” ujarnya.
Menjawab ura-ura beliau akan pulang bertanding di Pahang, beliau menyerahkan keputusan kepada parti tetapi membayangkan hasratnya untuk mempertahankan kerusi disandangnya ketika ini.
“Saya sebagaimana pimpinan lain menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan di mana saya akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Saya difahamkan PN mengadakan mesyuarat pagi ini untuk memuktamadkan segala keputusan.
“Tetapi hati saya jatuh cinta dengan Kubang Kerian. Apa pun yang penting di mana kita diamanahkan, kita laksanakan tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN