Desakan Armada Jasin hanya pandangan peribadi ketuanya -

Desakan Armada Jasin hanya pandangan peribadi ketuanya

MOHD. YADZIL YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gesaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin yang mahu calon daripada parti itu diletakkan di kerusi Parlimen Jasin hanya pandangan peribadi semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub menjelaskan, ini kerana ahli yang hadir pada sidang akhbar berkenaan tidak mewakili keseluruhan Armada Bahagian itu tetapi menjurus kepada pandangan peribadi Ketuanya, Muhammad Jefri Safry.

Menurut beliau, PN negeri juga masih belum memuktamadkan sebarang agihan kerusi bersama parti komponen termasuk di Parlimen Jasin.

“Hanya kerusi Parlimen Masjid Tanah sahaja yang sudah dimuktamadkan apabila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penyandangnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan mempertahankan kerusi berkenaan. Apa yang diperkatakan Armada Bahagian Jasin itu tidak menyebabkan masalah di peringkat PN Melaka.

“Kami sentiasa bekerjasama sampai saat ini termasuk persiapan jentera parti meskipun ada isu semalam. Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Pas dan mereka tiada masalah serta tidak berkecil hati.

“Bagi saya itu hanya hasrat orang muda. Kita akan teruskan bersama-sama kerana ini bukan masanya untuk memperbesarkan perkara yang kecil,” katanya ketika dihubungi.

Rabu lalu, Muhammad Jefri mendakwa calon Bersatu adalah lebih layak bertanding di Jasin walaupun kerusi berkenaan secara tradisinya ditandingi Pas.

Beliau juga menegaskan jentera Armada Bahagian Jasin tidak akan meneruskan kempen sehingga hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini jika hasrat itu tidak dipenuhi.

Mengulas lanjut, Mohd. Yadzil berkata, beliau yakin terdapat unsur-unsur luar yang mempengaruhi Armada Bahagian Jasin untuk membuat kenyataan sedemikian.

Kata Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka itu lagi, ketika PRU15 semakin hampir, pelbagai cara akan digunakan pihak lawan untuk memecah-belahkan kesatuan dan keharmonian dalam PN.

“Mengugut adalah perkara yang tidak baik kerana akan merosakkan keharmonian. Kita tidak boleh menolak kemungkinan dalam keadaan ‘perang’ sekarang ini kerana pihak musuh akan menggunakan pelbagai cara untuk melemahkan lawan.

“Menjadi keinginan orang muda untuk agresif ke depan, tapi janganlah tindak tanduk kita sampai melangkaui keputusan yang dibuat sehingga memberi kesan buruk kepada parti,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN