BATU PAHAT: Calon DAP yang akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15), Sheikh Umar Bagharib Ali dijemput datang ke kawasan itu terlebih dahulu untuk melihat pembangunan yang sedang dilaksanakan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam, Joni Muhamat Yahya berkata, kenyataan yang membuta tuli akan menampakkan bahawa Sheikh Umar belum datang dan melihat sendiri apa yang berlaku.

Katanya, statistik kemalangan jalan raya yang dinyatakan oleh calon DAP itu adalah antara 2015 hingga 2020, sedangkan sekarang sudah 2022 dan pembangunan melibatkan naik taraf jalan dari Parit Raja ke Ayer Hitam sudah dilaksanakan bermula awal Oktober tahun ini hingga Oktober 2024 yang menelan belanja sebanyak RM250 juta.
“Jalan dari Yong Peng ke Ayer Hitam juga sedang dalam kerja naik taraf menerusi peruntukan kerajaan negeri hasil daripada usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor.
“Dengan proses naik taraf jalan yang sedang dalam pelaksanaan ini, ia akan membolehkan rakyat di Ayer Hitam menikmati kemudahan perjalanan antara yang terbaik di negara ini,” katanya mengulas kenyataan Sheikh Umar yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mengenai pembangunan jalan raya di Ayer Hitam.
Joni Muhamat juga mengingatkan Sheikh Umar supaya meneliti terlebih dahulu isu-isu yang ingin dibangkitkan kerana rakyat di Ayer Hitam sudah 18 tahun menikmati pembangunan yang dibawa wakil rakyatnya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
“Hanya rakyat di Ayer Hitam yang mengetahui apa yang sudah diberikan dan dibawa oleh Wee Ka Siong ke kawasan Parlimen ini dan anda (Sheikh Umar) bukan rakyat di sini yang sudah pasti hanya akan datang bila musim pilihan raya seperti ini,” katanya.
Terdahulu, Sheikh Umar dalam kenyataannya meminta Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan memberikan jawapan tentang keadaan jalan raya dari Batu Pahat ke Ayer Hitam, Yong Peng-Ayer Hitam dan Ayer Hitam-Kluang. – UTUSAN










