PADANG BESAR: DAP belum menerima sebarang notis rasmi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew yang dikatakan akan keluar parti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu memandangkan berita berkenaan hanyalah desas-desus dan masih belum ada pengesahan rasmi.
Namun, katanya, DAP sememangnya tidak terkesan sekiranya ada mana-mana wakil rakyat mereka mengambil pendirian meninggalkan parti itu.
“Kawasan yang diwakili calon DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dimenangi atas kapasiti parti.
“Dalam sejarah penubuhannya, DAP sememangnya tidak terjejas jika ada wakil rakyat mereka meletak jawatan atau menyertai parti lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian pejabat DAP negeri di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, ADUN veteran DAP yang akan segera keluar parti selepas menjadi ahli selama 40 tahun.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, DAP berhasrat untuk menampilkan lebih ramai calon baharu untuk mewakili parti itu dalam PRU15.
“DAP mempunyai ramai calon Melayu yang berpotensi di setiap negeri antaranya Kedah, Perak, Pahang, Johor dan Selangor untuk diketengahkan sebagai calon.
“Selain bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Cina, DAP juga berharap dapat menawarkan calon dari parti itu di kawasan yang mempunyai ramai pengundi Melayu,” katanya. – UTUSAN










