Curi nadir bumi: Kerajaan negeri, syarikat dapat lesen teroka tidak

Curi nadir bumi: Kerajaan negeri, syarikat dapat lesen teroka tidak terlibat

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kegiatan mencuri unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik tidak melibatkan kerajaan negeri atau syarikat Prospek Suria Sdn. Bhd. yang diberikan lesen eksplorasi untuk mengkaji hasil mineral tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerja-kerja mengeksplorasi juga sehingga kini belum dilakukan secara sah kerana masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Katanya, tuduhan pihak tertentu termasuk pembangkang yang menyatakan kerajaan negeri bersubahat dalam kegiatan terbabit tidak benar kerana plot tanah yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu juga berbeza dengan kawasan yang diberi kebenaran sebelum ini.

“Mereka pun (Prospek Suria) bila ada berlaku kecurian itu cepat-cepat telefon Setiausaha Kerajaan Negeri dan saya (memaklumkan kegiatan itu). Bukan kami buat, tetapi orang lain (lakukan) dan kami tidak terlibat.

“Kawasan (kecurian) itu saya dimaklumkan di luar kawasan yang diplot oleh plot yang dibenarkan kepada syarikat yang usahasama dengan Menteri Besar Incorporated (MBI). Ada orang kata ada papan tanda MBI di pintu masuk itu (tetapi) bukan MBI terbabit,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar, di sini.

Beliau mengulas perkembangan kegiatan mencuri nadir bumi yang dilaporkan Utusan Malaysia pada Isnin lalu yang dipercayai melibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit sejak ia dilakukan kira-kira dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi percaya kegiatan itu juga tidak melibatkan agensi-agensi kerajaan yang didakwa terbabit sama, selain menafikan dakwaan tidak ada pemantauan dibuat pihak berkaitan selama ini.

Beliau turut memaklumkan, terdapat dua projek MBI di kawasan hutan itu iaitu projek ladang hutan yang diluluskan pada 2017 untuk tanaman spesis Albizia Falcatria dan Musang King.

“Kemudian yang kedua ada plot usahasama MBI dengan satu syarikat buat ladang solar. Jalan masuk yang sama dan yang ketiga ini usaha sama bagi meneroka REE. Tiga projek MBI di situ tidak termasuk kecurian yang berlaku. 

“Kita pun tak tau siapa (terlibat), kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasat termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan Kedah yang semua ada undang-undang yang mereka kuatkuasakan, (maka) ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi pandangan agar kompaun atau denda yang bakal dikenakan kepada pihak terlibat dapat dikembalikan dalam apa sahaja bentuk kepada Kedah memandangkan mineral dan tanah serta kekayaan-kekayaan itu adalah milik negeri itu.

“Ini saya habaq (beritahu) terus-terang, katalah dia kena denda RM1 juta. Duit itu pi kat Persekutuan, betul tak? Siapa kena denda mahkamah kecuali mahkamah syariah duit itu pergi kepada negeri (tetapi) mahkamah sivil naik motor tak ada lesen, pindah tanah tanpa kebenaran atau apa kesalahan yang naik mahkamah duit pergi Persekutuan. 

“(Dalam hal ini) kekayaan yang dicuri itu negeri punya, tanah-tanah atau mineral-mineral (milik kita). Oleh kerana ke mahkamah, dapat kat Persekutuan duit itu nanti, maka, saya berpandangan sama ada boleh dipakai atau tak boleh terserah kepada agensi dan jabatan yang menguatkuasakan undang-undang. 

“Kenakan kompaun yang paling tinggi dalam sejarah sejak Tuhan buat dunia ini. Tak kiralah berapa juta. Hangpa (anda) agak-agak kalau pi mahkamah kena berapa juta? RM5 juta? Duit itu (perlu) dapat kepada negeri, itu lebih adil,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya