Calon 'otai' relevan masih diperlukan - Ahmad Said

Calon ‘otai’ relevan masih diperlukan – Ahmad Said

AHMAD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak menolak kemungkinan untuk menampilkan lebih ramai calon ‘otai’ yang relevan di satu-satu kawasan berbanding calon muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, faktor utama kemenangan parti terletak kepada kredibiliti calon tanpa mengira faktor usia walaupun mahu meraih sokongan pengundi muda.

Malah, katanya, semua calon UMNO yang bertanding dalam PRU15 termasuk kategori ‘otai’ akan dinilai keseluruhan aspek dan bukan bersandar kepada personaliti atau latar belakang semata-mata.

“Kalau kata mahu beri kepada orang muda, tetapi orang tidak mengenali calon tersebut, susah juga. Sebab apa? Kita perlu seimbangkan antara pendidikan, latar belakang dan rekodnya dengan khidmat dia di sesebuah kawasan.

“Mungkin Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mengapa sebab kecil. Anggaran pun dalam 20,000 ke 30,000 undi, tetapi tidak Parlimen. Sebagai contoh Kemaman kita ada 140,000 pengundi dengan empat DUN. Kalau dia orang muda, hebat atau mungkin bergelar profesor tapi orang tidak kenal, apa maknanya? Orang akan tanya siapa calon ini, pernah bantu kita?” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Lebih 21 juta pengundi berdaftar dijangka mengundi pada PRU15 kali ini dengan 1.4 juta pemilih adalah golongan baharu pada tahun ini. Pengundi belia yang berusia 18 hingga 40 tahun dianggarkan seramai 12.2 juta atau 58 peratus daripada jumlah pengundi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengabaikan kuasa mengundi hampir lima juta pemilih baharu pada PRU15.

Dalam pada itu, Ahmad ketika ditanya kewajaran pemimpin muda dinamakan sebagai ‘poster boy’ berkata, ia bukan faktor utama bagi meraih undi golongan muda.

“Poster boy dipilih berdasarkan orang yang boleh beri kemenangan kepada parti. Kalau letak orang muda tetapi orang tanya siapa dia ini? Masalah nanti. Jadi, tidak semestinya perlu orang muda sebagai poster boy,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN