Calon Melayu DAP bukan ancaman kepada BN - Utusan Malaysia

Calon Melayu DAP bukan ancaman kepada BN

WEE KA SIONG berswafoto dengan orang ramai yang hadir pada sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Batu Pahat dan Penyerahan Bantuan Lesen Keluarga Malaysia (BLKM) di SMK Suria Perdana di Parit Raja, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Strategi DAP meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) termasuk di kerusi Parlimen Ayer Hitam bukan ancaman kepada Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, BN tidak gentar kerana memiliki calon berwibawa, berpengalaman dan bukan sebagai ‘bidan terjun’.

“Sebagai penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam, saya pernah berdepan dengan calon Melayu pada 2004. Sekarang, DAP letak calon Melayu, itu cara mereka dan kita juga ada cara kita. 

“Kita tidak selalu tukar calon. Apa pun sesiapa sahaja yang datang, saya tidak boleh sekat. Ini kerana soal bertanding di Ayer Hitam saya serahkan kepada rakyat menilai siapa yang bersama-sama mereka selama ini. Kehadiran kita bukan sebagai ‘bidan terjun’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Batu Pahat dan Penyerahan Bantuan Lesen Keluarga Malaysia (BLKM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana di Parit Raja, dekat  sini.

Kelmarin, Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon kerusi Parlimen Ayer Hitam pada PRU15.

Pada PRU 14, Ka Siong mempertahankan Ayer Hitam selepas menewaskan Liew Chin Tong dengan majoriti 303 undi.

Ayer Hitam merupakan kawasan majoriti Melayu yang telah diwakili oleh Ka Siong selama empat penggal.

Beliau yakin pengundi muda akan memilih BN berdasarkan  prestasi yang ditunjukkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

“Saya yakin jentera di BN Ayer Hitam telah siap sedia. Namun, kita tidak boleh berasa terlalu selasa. Kita perlu kerja keras, menang atau kalah itu adat. Saya serah kepada pengundi Ayer Hitam,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN