PETALING JAYA: Beberapa gabungan parti politik negara telah pun menamakan calon Perdana Menteri ke-10 masing-masing seandainya meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, kebanyakan calon yang diketengahkan adalah muka-muka lama serta usia melebihi 70 tahun dengan hanya dua calon berusia dalam lingkungan 60an.
Namun begitu, ada yang menganggap calon-calon ini masih layak kerana kebanyakannya pernah memegang jawatan Perdana Menteri sekali gus mempunyai pengalaman dalam mentadbir negara.
ISMAIL SABRI YAAKOB
Ini kali pertama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanding sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU15, seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pencalonannya itu tidak mengejutkan kerana sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu, beliau menjalankan tugasnya dengan baik apabila berjaya menyelesaikan banyak perkara menerusi gagasan Keluarga Malaysia.
Antaranya, beliau berjaya mewujudkan kestabilan politik dengan semua parti politik termasuk pembangkang melalui memorandum persefahaman (MoU).
Beliau juga berjaya memastikan pemulihan ekonomi negara berjalan lancar sehingga setiap industri di negara ini kembali beroperasi dengan baik melalui penyediaan pelbagai jenis peruntukan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Walaupun sering berdepan dengan tekanan politik, beliau dapat menanganinya dengan baik malah sentiasa mendapat sokongan pelbagai pihak dalam pelbagai isu sama ada BN, Perikatan Nasional (PN) mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ini sekali gus menunjukkan keupayaan dan kewibawaannya sebagai calon Perdana Menteri.
ANWAR IBRAHIM
Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dipilih sebagai calon Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

Beliau satu-satunya calon yang tidak pernah memegang jawatan tertinggi negara, paling hampir ketika beliau dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri pada 1997 sebelum tersisih daripada arus perdana.
Pemimpin berusia 75 tahun itu kembali menjadi calon Perdana Menteri pada PRU13, namun tewas kepada BN yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.
Beliau bagaimanapun membuat kejutan apabila memberi laluan kepada musuh lamanya, Dr. Mahathir untuk menjadi calon Perdana Menteri mewakili PH pada 2018 ketika menjalani hukuman penjara.
Selepas keluar penjara, beliau sepatutnya dilantik sebagai Perdana Menteri, namun Dr. Mahathir enggan memberi laluan sehinggalah berlakunya Langkah Sheraton.
Terbaharu, Anwar hampir menjadi Perdana Menteri apabila mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, namun dakwaan itu tidak menjadi kenyataan apabila beliau tidak menyerahkan nama ahli Parlimen yang menyokong kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sejak kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, Anwar berdepan tekanan apabila diminta mengundur diri daripada dunia politik.
Namun begitu, beliau masih lagi mendapat sokongan majoriti pembangkang, paling terbaharu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dengan jumlah sokongan yang diraih ketika ini, beliau dianggap sebagai pencabar terdekat kepada Ismail Sabri.
MUHYIDDIN YASSIN
Terkenal dengan gelaran ‘Abah’, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding buat kali pertama sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU15 sejak menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

Pemimpin berusia 75 tahun itu satu-satunya calon yang paling tidak disangka-sangka dilantik sebagai Perdana Menteri apabila mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen selepas berlakunya Langkah Sheraton.
Bagaimanapun sejak itu, Muhyiddin berdepan pelbagai cabaran antaranya isu pandemik Covid-19, bekalan vaksin, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik.
Beliau berjaya membentuk persefahaman antara Bersatu dan UMNO sehingga beroleh kemenangan dalam PRN Sabah bagi membentuk kerajaan baharu.
Namun, pentadbirannya tergugat apabila berlaku perselisihan dengan UMNO sebelum beliau mengisytiharkan darurat pada Januari 2021, dipercayai bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
Perselisihan dengan UMNO bertambah buruk sehingga akhirnya beliau terpaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri apabila ahli-ahli Parlimen UMNO bertindak menarik balik sokongan terhadapnya sebaik sahaja proklamasi darurat dibatalkan.
Di sebalik itu, Muhyiddin masih merupakan pemimpin yang popular dalam kalangan pemimpin dan penyokong Bersatu serta mendapat sokongan penuh daripada Pas.
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Kini dikenali dengan gelaran ‘Atok’, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi bertanding sebagai calon PRU15 di Langkawi pada usia 97 tahun.

Walaupun Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui enggan menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri, Dr. Mahathir tetap dianggap sebagai satu-satunya calon yang paling sesuai dan layak.
Beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas mentadbir negara, selepas dua kali menjadi Perdana Menteri iaitu pada 1981 selama 22 tahun dan kali kedua pada 2018 selama 22 bulan.
Dr. Mahathir juga sering meraih kemenangan setiap kali menjadi calon Perdana Menteri ketika mewakili Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Namun, pemimpin veteran itu berdepan cabaran terbesar sama ada beliau mampu untuk memenangi PRU sekali lagi apabila menerajui Parti Pejuang dan GTA yang tidak mempunyai sokongan sebanyak BN, PH dan PN.
Beliau juga berdepan tekanan untuk mengundur diri daripada dunia politik, namun dengan popularitinya sebagai negarawan, ada yang menganggap beliau masih lagi relevan walaupun usia semakin meningkat. – UTUSAN










